
DUN Sabah : 6,060 pelajar IPTA/S dari Sabah terima bantuan BUDI tahun lalu
Kota Kinabalu : Seramai 6,060 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di seluruh negara yang berasal daripada negeri ini telah mendapat bantuan dibawah program Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI) bagi tahun lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, BUDI merupakan bantuan yang disalurkan untuk pelajar dalam kalangan B40 dan M40 yang kali pertama masuk ke IPT sepenuh masa di seluruh negara yang diiktiraf Kerajaan.

Katanya, bantuan tunai sebanyak RM2,000 diberikan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dan RM1,500 bagi Diploma/Asasi/Matrikulasi.
“Bagi tahun ini, seramai 656 pelajar telah diluluskan dengan peruntukan RM1,191,000. Bantuan ini akan terus dipertimbang dan diluluskan sehingga akhir tahun ini dengan sasaran lebih 6,000 pelajar.
“Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) iaitu bantuan secara one-off sebanyak RM 200 turut diberikan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STAM dan STPM bagi ibubapa atau penjaga mereka yang diketagorikan dalam golongan B40 dan M40.
“Untuk tahun 2022 seramai 35,000 pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 7,000,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Arifin berkata, bagi tahun ini, seramai 37,500 pelajar dijangka akan mendapat manfaat daripada bantuan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 7,500,000 dan bayaran akan dibuat sebulan sebelum peperiksaan yang dijangka bermula iaitu Februari 2024.
Katanya, bagi Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (BAGUS) yang merupakan bantuan secara ‘one off ‘ sebanyak RM 2,000 diberikan kepada 1,500 PIBG di setiap sekolah di Sabah yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 3 juta untuk memperkasa dan memantapkan aktiviti yang dilaksanakan.
“Untuk tahun lalu, sebanyak 630 PIBG telah dibantu. Bagi tahun 2023 iaitu setakat bulan Julai sebanyak 490 PIBG telah dibantu yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 980,000.
“Selain daripada Bantuan one-off, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) juga disediakan ia merupakan pemberian komputer riba (laptop) di kalangan pelajar-pelajar Sabah yang sedang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.
Beliau turut menambah, pada tahun lalu, seramai 560 pelajar telah mendapat bantuan tersebut manakala untuk tahun ini setakat Julai, 106 seramai pelajar telah dibantu.
“Syarat-syarat untuk memohon bantuan tersebut antara lain adalah permohonan terbuka kepada pelajar-pelajar IPT berstatus Bumiputera berasal daripada negeri Sabah.
“Ibu dan bapa atau penjaga dalam golongan e-kasih (pendapatan RM 3,000.00 ke bawah),” katanya. – SABAH MEDIA