Kota Kinabalu : Sabah berjaya mengutip sebanyak RM6.22 bilion Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas Minyak Sawit Mentah bagi tempoh lima tahun sejak 2018 yang merupakan antara sumber hasil utama kepada kewangan Sabah.
Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Majungki berkata, pada tahun lalu juga cukai ini telah menyumbang sebanyak 22 peratus ke atas keseluruhan hasil negeri.
Katanya, daripada jumlah kutipan CJN itu, sebanyak RM 845.36 juta direkodkan pada 2018; RM789.58 juta (2019); RM919.15 juta pada tahun 2020.
“Bagi tahun 2021 pula, sebanyak RM1.35 bilion berjaya dikutip; RM1.56 bilion pada tahun lalu dan sehingga Julai tahun ini sebanyak RM739.53 juta CJN ke atas Minyak Sawit Mentah berjaya dikutip.
“Walau bagaimanapun, prestasi pungutan cukai ini amat bergantung kepada perubahan persekitaran ekonomi dan pasaran global.
“Penentuan harga dan pengeluaran minyak sawit mentah juga adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri. Oleh itu, dapat dilihat perubahan ke atas prestasi pungutan cukai ini setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Julita berkata, peruntukan bagi membaiki jalan di kawasan ladang kelapa sawit (estate), terdapat dua jenis jalan yang diselenggara oleh Kerajaan Negeri dan berdaftar dalam Sistem MARRIS di bawah Jabatan Kerja Raya bagi jalan tersebut iaitu jalan berturap dan tidak berturap.
Katanya, bagi tempoh 2018 sehingga 2023, sebanyak RM5.95 juta dengan melibatkan jumlah jalan sepanjang 105.66km telah dibelanjakan bagi menyelenggara jalan berturap dan RM87.74 juta dengan melibatkan jumlah jalan sepanjang 518.45km bagi jalan tidak berturap.
“Secara keseluruhannya, jalan-jalan tersebut melibatkan daerah Beaufort, Keningau, Kinabatangan, Kudat, Kunak, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, Tawau dan Telupid.
“Ingin dijelaskan juga bahawa terdapat jalan di kawasan ladang kelapa sawit yang dibina sendiri oleh pemilik estet berkenaan.
“Oleh itu, adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah untuk menyelenggara jalan berkenaan bagi memberikan keselesaan serta menjamin keselamatan semua pengguna yang mana kos penyelenggaran ditanggung oleh pemilik estet sendiri,” katanya.
Sementara itu, Julita berkata, sebagai salah satu penyumbang utama kepada hasil negeri, hasil kutipan CJN ke atas minyak sawit mentah juga melimpah kepada pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini secara keseluruhan.
“Di kesempatan ini, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua syarikat pengilang minyak sawit mentah yang telah mematuhi dan membayar cukai yang wajib kepada Kerajaan Negeri,” katanya. – SABAH MEDIA.