Kota Kinabalu : Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama agensi agama Islam di negeri ini sedang giat merancang segala pengisian aktiviti dan program bagi menghidupkan suasana di bulan Hijrah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah aktiviti sempena bulan Kemerdekaan dan bulan kelahiran Baginda Rasullah S.A.W.
“Kerajaan Negeri menyokong serta mengalakkan apa jua bentuk anjuran yang menjurus kepada kebaikan dan kebajikan, khususnya buat seluruh umat Islam di Negeri Sabah ini.
“Dalam kesempatan ini sukalah juga saya menyeru umat Islam untuk mengikis semua sikap negatif, dan berazam untuk meningkatkan lagi kualiti amal ibadat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Tahsin Ibadah peringkat daerah Beaufort di sini hari ini.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, umat Islam di Sabah juga diharap dapat menanamkan azam sempena tahun baru 1445 Hijrah untuk meningkatkan ilmu, kemahiran, keyakinan dan berani untuk mengorak langkah kehadapan dan berhijrah atau berubah kepada kehidupan yang lebih baik, maju dan berkualiti.
Katanya, perubahan ini tidak akan berlaku selagi umat Islam khususnya masih mempunyai minda yang negatif dan jiwa yang lemah.
Menurutnya, hanya dengan kekuatan dan keupayaan ilmu pengetahuan umat Islam akan lebih bersedia dan boleh mendepani cabaran dalam era globalisasi ini.
“Saya yakin tema sambutan Ma‘al Hijrah tahun ini “Perpaduan Teras Malaysia Madani” boleh menjadi pencetus dan pemangkin usaha kita menyatukan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Perpaduan erat dalam kalangan ummah merupakan elemen penting demi melahirkan masyarakat yang mantap dan berhemah mulia,” katanya.
Beliau juga menyeru agar masyarakat terus mempersiapkan dan memperkasakan diri dengan memanfaatkan segala pengetahuan, tenaga dan kemahiran yang dimiliki demi menempuh segala cabaran dan halangan. – SABAH MEDIA