HomeUtamaZulhelmy dilantik Timbalan Panglima TLDM yang baharu

Zulhelmy dilantik Timbalan Panglima TLDM yang baharu

Read Time:1 Minute, 25 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur: Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain, dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu berkuat kuasa semalam (Jumaat).

Markas TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Zulhelmy, 55, mengambil alih jawatan itu daripada Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, yang akan menggantikan Zulhelmy di Puspahanas.

Majlis serah terima tugas diadakan di Puspahanas Putrajaya, dengan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Zulhelmy yang dilahirkan pada 2 Jan 1968 di Datuk Keramat, di sini menyertai perkhidmatan TLDM pada 6 Ogos 1986 dan ditauliahkan pada tahun 1988.

Beliau telah dilantik sebagai Presiden Puspahanas pada 6 Okt 2022 dan merupakan seorang submariner TLDM serta pernah menjadi Pegawai Memerintah Kapal Selam Pertama TLDM iaitu Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman.

Beliau juga pernah melakarkan sejarah tersendiri, apabila berjaya belayar membawa pulang KD Tunku Abdul Rahman dari Perancis ke Malaysia, dengan mengambil masa hampir dua bulan.

Selain itu, Zulhelmy pernah berkhidmat di Markas Angkatan Kapal Selam TLDM dan memegang beberapa perjawatan termasuk Pegawai Memerintah Pusat Latihan Kapal Selam TLDM, Timbalan Panglima Angkatan Kapal Selam serta Panglima Angkatan Kapal Selam.

Antara perjawatan penting lain yang pernah disandang termasuk Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Markas Tentera Laut dan seterusnya Panglima Wilayah Laut 1 di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, Sabri, 56, yang menjawat jawatan sebagai Timbalan Panglima TLDM sejak pada 27 Jan 2023 dan kini dilantik sebagai Presiden Puspahanas yang baharu, mula memasuki TLDM sebagai Pegawai Kadet pada 15 Dis 1984.

Beliau yang dilahirkan pada 4 Mac 1967 di Rawang, Selangor, ditauliahkan pada 21 Dis 1987 selepas menjalani kursus Midshipman Antarabangsa di Jerman Barat, selama tiga tahun. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

CIS serah zakat perniagaan RM100,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya