HomeUtamaPembudayaan integriti dalam kalangan penjawat awam sentiasa dititikberatkan

Pembudayaan integriti dalam kalangan penjawat awam sentiasa dititikberatkan

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan sentiasa menitik beratkan pembudayaan integriti yang baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri termasuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan nilai-nilai integriti di kalangan penjawat awam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sebagai contoh di peringkat Kerajaan Persekutuan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) telah dibangunkan.

“Manakala di peringkat Kerajaan Negeri melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telahpun melancarkan Sistem i-Adu untuk membolehkan orang awam membuat aduan dan kementerian/jabatan memberikan maklumbalas ke atas aduan-aduan awam dengan cepat dan telus.

“Kementerian ini juga komited di dalam mereformasi tadbir urus dan menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien dan telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Minggu Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) di sini hari ini.

Arifin berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kementerian dan jabatan dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa efisien dan telus.

“Antaranya Pelan Anti Rasuah Organisasi KSTI (OACP); Dashboard KSTI dan Modul Integriti TVET Pertama Malaysia.

“Bagi membantu meningkatkan lagi integriti perkhidmatan awam negeri secara holistik, kementerian ini telahpun mengadakan bengkel Google Data Studio  (Ignite & Advance) pada 14 Jun 2022 dan Sabah Data Fest (The Journey) pada 07 November 2022 bagi membantu kementerian-kementerian/jabatan-jabatan membangunkan dashboard sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk berkongsi maklumat secara telus,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan penggunaan Google Workspace (GWS) kepada lebih kurang 10,384 penjawat awam Negeri Sabah.

Katanya, GWS akan dilancarkan dalam masa terdekat dan penggunaan perisian itu akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dan kecekapan pengguna.

“Saya menyeru kepada seluruh warga KSTI dan jabatan/agensi di bawahnya agar sentiasa memartabatkan amalan bebas rasuah di dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan projek pembangunan.

“Tanggungjawab yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan sepenuh hati dan ketepikanlah kepentingan peribadi. Budaya kerja cemerlang dan berintegriti akan menjadi asas kepada peningkatan imej dan produktiviti sesebuah organisasi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Generasi muda perlu rebut peluang dalam industri pertanian – Amisah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya