HomeIsu tempatanRM1.1 juta nilai jualan disasarkan menerusi penganjuran FKB 2023

RM1.1 juta nilai jualan disasarkan menerusi penganjuran FKB 2023

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak RM1.1 juta nilai jualan keseluruhan disasarkan menerusi penganjuran Festival Kraf Borneo (FKB) 2023 yang diadakan selama 18 hari bermula semalam.

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, FKB 2023 itu turut mendapat penyertaan seramai 60 orang usahawan kraf daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan sasaran kedatangan pengunjung seramai 30,000 orang.

Menerusi FKB 2023 itu, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya jualan produk kraf; demonstrasi kraf; interaktif kraf; pameran produk kraf dan pameran jom masuk IKN kampus satelit Sabah dan Sarawak.

Selain itu, turut diadakan pameran Mycraftshoppe; live streaming facebook e-kraf bazar; persembahan kebudayaan; aktiviti galakan pengunjung; Pertandingan Tik-Tok FKB; Pertandingan Selfie FKB; Kuiz FKB; lawatan berpandu berkumpulan dan pertandingan ratu FKB 2023.

“Penganjuran FKB 2023 ini dapat merancakkan lagi ekonomi usahawan dan komuniti kraf serta sekali gus memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rantaian nilai sektor pelancongan negeri Sabah.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)  menyeru agar semua usahawan terus menghasilkan produk-produk kraf berkualiti untuk ditawarkan kepada pelancong dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu di sini semalam.

FKB 2023 yang dibuka seawal jam 10 pagi itu berlangsung sehingga 10 September depan bertempat di pusat beli-belah 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Mohd Yusri Mohd Yusoff dan turut dihadiri Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia `Ainu Sham Ramli, dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Sabah Abd Rahman Omar.

FKB pada tahun ini merupakan penganjuran kali keempat sejak ia mula dianjurkan pada tahun 2018.

Objektif penganjuran festival ini adalah untuk memberi peluang kepada komuniti kraf Negeri Sabah dan Sarawak memasarkan produk kraf tempatan dan sebagai tempat pertemuan peniaga, pengusaha dan pemborong kraf seluruh Malaysia khususnya Borneo.

Bertemakan ‘Ini Kraf Malaysia’ bagi menyuntik pengetahuan, kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap produk kraf Malaysia.

Selain itu, ia juga mengetengahkan kehalusan pertukangan kraf Malaysia khususnya komuniti kraf negeri Sabah dan Sarawak melalui pelbagai pengisian aktiviti yang komprehensif.

Berkonsepkan aspirasi Malaysia MADANI yang sinonim dengan etnik Sabah dan Sarawak, kepelbagaian etnik dan budaya ditampilkan melalui keunikan dan keindahan produk kraf.

Produk fokus FKB 2023 tahun ini adalah produk kraf aksesori dan gaya hidup dijadikan sebagai pelengkap keperluan untuk pilihan kepada pembeli.

Produk kraf daripada bidang hasil rimba, tekstil, seramik, logam dan aneka kraf merangkumi rangkaian produk aksesori lelaki dan wanita, kraf tekstil tenunan dan batik, kostum tradisional, barangan hiasan dalaman, produk keperluan rumah dan produk cenderamata antara yang disajikan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pesta Kaamatan landasan terbaik kukuhkan ikatan perpaduan merentasi agama, bangsa dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular