HomeUtamaEmpat suspek lelaki berjaya ditahan terlibat kes bunuh

Empat suspek lelaki berjaya ditahan terlibat kes bunuh

Read Time:1 Minute, 44 Second

KENINGAU: Polis berjaya menahan empat suspek lelaki dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang pekerja ladang sawit dalam kejadian di Kampung Batu 27, Jalan Tenom – Keningau baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Keningau Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pada 29 Ogos 2023 jam lebih kurang 9.50 malam, pihak polis IPD Keningau telah menerima satu laporan berkaitan satu kejadian kes kematian dari orang awam yang melibatkan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 47 tahun.

“Hasil siasatan pihak polis, kejadian berlaku pada 27 Ogos 2023 jam lebih kurang 4 petang, seorang lelaki tempatan yang bertugas untuk meronda di kawasan kebun di Kampung Batu 27, Jalan Tenom – Keningau telah melihat mangsa terbaring di dalam rumah kebun dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas.

“Seterusnya mangsa telah dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun pada 28 Ogos 2023, pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman otak yang mana terdapat benjolan pada kepala kanan mangsa.

“Punca awal pergaduhan ini disebabkan oleh kesemua empat suspek ini menuduh anak lelaki mangsa sebagai pencuri di kawasan ladang tempat kerja mereka dan ingin mendapatkan penjelasan. Berlaku cabar mencabar diantara mereka sehingga menyebabkan pergaduhan dan kematian mangsa,” kata Yampil ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Yampil, susulan dari maklumat, dua perempuan dan seorang lelaki telah ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut untuk mengesan empat orang suspek utama yang terlibat dalam kes tersebut.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah IPD Keningau telah berjaya membuat tangkapan secara berasingan terhadap kesemua empat lelaki warganegara Indonesia berumur lingkungan 17 hingga 37 tahun pada 2 September 2023 diantara jam 8 pagi dan 3 petang di kawasan tepi jalan Kampung Bunga Raya Keningau dan hadapan rumah tidak bernombor di ladang sawit Sapong – Tenom.

“Kesemua suspek direman sehingga 7 September 2023. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Yampil turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan masyarakat yang telah membantu sehingga tertangkapnya kesemua suspek.

“Pihak polis juga menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut di media sosial yang akan menjejaskan siasatan pihak polis,” tegas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya