HomeUtamaKembara Kenali Borneo bermula, konvoi menuju Lahad Datu, Sandakan

Kembara Kenali Borneo bermula, konvoi menuju Lahad Datu, Sandakan

Read Time:2 Minute, 49 Second

BERNAMA

Tawau : Hari ini suasana di bandar Tawau berbeza daripada kebiasaan.

Buat julung kali, masyarakat setempat menyaksikan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau, di sini.

Al-Sultan Abdullah, yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 8.30 pagi.

Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Bagaikan pesta, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan menarik minat masyarakat setempat keluar beramai-ramai menunggu dan ingin melihat lebih dekat serta merakamkan detik bersejarah bersama pasangan diraja dan rombongan.

Hujan yang turun tidak menghalang masyarakat setempat berkumpul dan berada di sepanjang  jalan raya yang menjadi laluan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan Kembara Kenali Borneo sejak awal pagi.

Kumpulan selawat, persatuan kompang dan pelatih jururawat dari kolej jururawat Kementerian Kesihatan serta pelajar sekolah meraikan keberangkatan berlepas Seri Paduka berdua dalam kembara itu, manakala orang ramai yang hadir bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Sambutan hangat orang ramai jelas terpancar apabila keberangkatan Seri Paduka berdua serta motoked Kembara Kenali Borneo disaksikan ribuan murid sekolah, guru dan penduduk setempat di sepanjang perjalanan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta konvoi menuju ke Lahad Datu, yang jarak perjalanannya adalah 171.7 kilometer dari Tawau.

Terdahulu, Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar membacakan doa bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan Seri Paduka berdua serta peserta konvoi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan merakamkan gambar kenangan di kawasan Bulatan 0KM, yang melambangkan titik asal penubuhan pusat pentadbiran awam di bandar Tawau dan menjadi penanda jarak ke pelbagai destinasi di seluruh bandar.

Turut hadir menyaksikan pelepasan konvoi itu adalah isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, Ahli-Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah dan kenamaan yang lain.

Kembara Kenali Borneo hingga 13 Sept ini akan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei memberi peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.

Konvoi Kembara Kenali Borneo itu dijadual singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu sebuah menara tarikan pelancong yang terletak di atas Gunung Silam pada ketinggian 884 meter dari aras laut dan kira-kira 11 kilometer dari bandar Lahad Datu.

Seri Paduka berdua dijadual mendengar taklimat ringkas daripada Jabatan Perhutanan Sabah mengenai menara serta alam semula jadi di kawasan itu, sebelum melawat sekitar Menara Kayangan.

Terletak dalam Hutan Simpan Sapagaya, Menara Kayangan setinggi kira-kira 30 meter itu juga dikenali dengan nama panggilan ‘Tower of Heaven’ oleh penduduk tempatan serta pelancong asing, mula dibuka kepada orang ramai pada April 2012.

Selain menikmati keindahan flora dan fauna di Gunung Silam, menara itu juga memaparkan pemandangan biru laut luas di Teluk Darvel yang memberikan pengunjung pemandangan ‘dua alam’ iaitu hijau hutan serta biru lautan luas.  BERNAMA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

Pembinaan Empangan Kaiduan, Papar perlu dilaksana segera atasi masalah bekalan air...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya