BERNAMA
Sandakan : Kembara Kenali Borneo hari ini dijadual akan meneruskan perjalanan menelusuri empat daerah iaitu Sandakan, Beluran, Telupid dan Ranau.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama peserta konvoi itu dijangka berangkat dari Sandakan menuju ke Pusat Pemulihan Orang Utan di Sepilok.
Antara tempat persinggahan lain konvoi adalah Institut Perhutanan Sabah di daerah Telupid, Tagal Sungai Moroli di daerah Ranau dan Majlis Santapan Bersama Rakyat pada malam ini di Pentas Budaya, Kundasang.
Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.- BERNAMA