HomeUtama2,349 kes demam denggi, satu kematian direkodkan - KP Kesihatan

2,349 kes demam denggi, satu kematian direkodkan – KP Kesihatan

Read Time:1 Minute, 1 Second

BERNAMA

Putrajaya: Jumlah kes demam denggi meningkat sebanyak 101 kes atau 4.3 peratus kepada 2,349 kes pada Minggu Epidemiologi ke-34 (ME34), iaitu bagi tempoh 20 hingga 26 Ogos berbanding 2,248 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan pada ME34.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini ialah sebanyak 78,277 kes berbanding 36,703 kes bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 41,574 atau 113.3 peratus.

“Sejumlah 55 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 33 kematian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata 82 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME34, berbanding 74 pada minggu sebelumnya, dengan 51 lokaliti berada di Selangor, 22 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua di Negeri Sembilan, Perak, Kelantan serta Sabah dan satu di Pulau Pinang.

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata tiga kes direkodkan pada ME34, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini sebanyak 159 kes.

Bagi survelan zika pula, beliau berkata 2,114 sampel darah serta 167 sampel urin disaring dan hasilnya semua negatif. BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

25 pendaki sertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu Coalition Duchenne kali ke-12

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular