Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan melaksanakan kempen pengurangan penggunaan beg plastik secara berfasa termasuk menambah bilangan hari kempen pada tahun depan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, inisiatif bagi merancakkan semula kempen berkenaan dengan tema ‘Bawa Beg Bah’ adalah bagi memberi kesedaran kepada penguna bahawa bumi kini semakin sakit.
Justeru katanya, pengguna perlu mengubah cara hidup untuk memelihara bumi dengan menerusi tindakan yang kecil dengan mengurangkan penggunaan beg plastic konvensioanl serta menggalakkan amalan hijau.
“Usaha ini juga selaras dengan langkah Kerajaan Negeri Sabah untuk menguatkuasakan Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal 2020 dan menyokong Hala Tuju SMJ di bawah elemen Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau dan berada pada landasan Matlamat Pembangunan Lestari 12:Tanggungjawab Terhadap Penggunaan dan Pengeluaran Lestari.
“Kempen ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada fasa pertama sebanyak 33 premis akan terlibat; fasa kedua yang akan dilaksanakan pada November dengan penglibatan pasaraya akan menyertai kempen ini.
“Bagi fasa ketiga pula, akan direalisasikan pada Januari 2024 yang memfokuskan premis dalam bidang kesihatan dan penjagaan diri. Pada tahun yang sama di bulan April 2024, iaitu fasa ke empat, kita menjangkakan lebih banyak premis akan menyertai kempen ini dari rangkaian premis makanan, restoran, kedai aksesori dan pakaian.
“Akhir sekali , fasa kelima, dijangkakan penambahan bilangan hari kempen dimana kempen ini akan dilaksanakan setiap hari,” katanya ketika berucap melancarkan kempen pengurusangan penggunaan beg plastik ‘bawa beg bah’ di sini semalam.
Noorliza berkata, seiring dengan kemajuan teknologi, pengguna tidak seharusnya mengabaikan penjagaan alam sekitar dan keseimbangan ekosistem bumi.
Katanya, kelalaian pengguna dalam memastikan alam sekitar terus terpelihara dikhuatiri akan membawa kesan yang memudaratkan terhadap kesihatan manusia; seterusnya mampu menggugat ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
“Pertambahan penggunaan bahan berasaskan plastik seperti beg plastik, penyedut minuman dan lain-lain telah menyebabkan lambakan plastik secara tidak terkawal di bandaraya kita.
“Bahan ini seperti yang semua sedia maklum mengambil masa selama 100 hingga 500 tahun untuk lupus (terbiodegrasi) secara semulajadi, manakala bahan toksik pula mudah larut dan meresap ke bumi.
“Kejadian ini sememangnya mampu menjejaskan rantaian makanan kita, seterusnya menjadi ancaman utama kepada alam sekitar dan tahap kesihatan manusia. Oleh itu, saya menyeru kepada semua untuk turut bersama-sama memainkan peranan dalam mengurangkan perkara ini daripada terus menjadi amalan yang tidak sihat,” katanya. – SABAH MEDIA