HomeUtamaProgram Tranformasi Sekolah 2025  lahirkan guru berkualiti

Program Tranformasi Sekolah 2025  lahirkan guru berkualiti

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Kinabalu : Program Tranformasi Sekolah 2025 (TS25) mampu melahirkan guru berkualiti dan persekitaran  Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang bermakna dengan sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini kerana TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan.

Katanya, ia turut disokong kepimpinan yang berkualiti  dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi serta komitmen komuniti yang padu.

Menurutnya, Program TS25 merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

“Kerajaan Negeri  amat mengalu-alukan dan menyokong Program TS25 dalam usaha membantu meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negeri ini”, katanya pada majlis penutupan Kolokium TS25 Peringkat Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan.

Katanya, kolokium yang bertemakan  ‘Tranformasi Sekolah Melonjak Kecemerlangan Daerah’ selama dua hari itu melibatkan penyertaan dan pembentang perkongsian amalan terbaik Transformasi TS25 dari peringkat sekolah, pendidikan daerah dan negeri serta institusi-institusi pendidikan luar negara.

“Sesungguhnya, platform dari sekolah ke persada antarabangsa ini memenuhi tuntutan cabaran transformasi globalisasi dalam pendidikan agar pendidik di sekolah-sekolah TS25 lebih bermotivasi untuk terus transform, berkarya, berkongsi kejayaan dari amalan terbaik, dapatan-dapatan kajian, intervensi, kreativiti dan inovasi yang mampu memberi tambah nilai dalam mengatasi isu-isu pendidikan dan pengurusan dalam kalangan warga pendidik.

“Kelangsungan pengantarabangsaan kolokium ini juga dapat memastikan kesinambungan penyelidikan dan inovasi dan pendidikan kita terus subur berkembang.

“Ramai dalam kalangan pendidik kita di sekolah TS25 yang mempunyai hasil dapatan kajian berimpak tinggi, strategi pengajaran dan pembelajaran bermakna, inovasi yang mampu mengurangkan atau mengatasi isu dengan impak yang besar di dalam bilik darjah tetapi tidak dikongsi dan disebarkan untuk dijadikan amalan terbaik oleh warga pendidik yang lain,” katanya.

Hajiji berharap melalui kolokium itu semakin banyak penghargaan dan pengiktirafan penyelidikan, inovasi dan amalan baik dapat dimantapkan sehingga menjadi bitara budaya kerja cemerlang. 

Katanya, penyertaan peserta dan pembentang kolokium TS25 merupakan dinamika paradigma positif dalam tranformasi kecemerlangan pendidikan yang akan membawa impak kecemerlangan pendidikan di peringkat daerah, negeri dan negara. 

Beliau berharap hasil daripada kolokium itu dapat dikongsikan dan digunakan demi kecemerlangan dan kemenjadian murid serta sekolah, khususnya di negeri ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

SSMJ kerjasama dengan agensi Kerajaan pastikan miskin tegar di Sabah dinoktahkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular