HomeUtamaUmur bersara Hakim Syarie dicadang untuk dinaikkan

Umur bersara Hakim Syarie dicadang untuk dinaikkan

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Umur persaraan Hakim Mahkamah Syariah di seluruh negara dicadang untuk dinaikkan kepada 66 tahun selaras dengan persaraan hakim Mahkamah Sivil di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu dicadangkan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dalam satu kunjungan hormat di Istana Seri Kinabalu di sini pagi tadi.

“Dalam kunjungan bertemu Tuan Yang Terutama Tun tadi, saya ada berbincang secara khusus berkaitan dengan perkembangan kehakiman syariah di Sabah dan Tun menyambut baik usaha-usaha ke arah memperkasakan Mahkamah Syariah di Sabah.

“Tun juga ada mencadangkan agar umur persaraan hakim-hakim syarie di Sabah dan di negeri-negeri lain juga disama rata dengan mahkamah sivil iaitu 66 tahun.  Ini kerana pada masa ini umur persaraaan bagi hakim-hakim syarie bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara adalah 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, menerusi cadangan itu diyakini akan dapat memperkasakan lagi mahkamah syariah selain para hakim dapat terus menyumbang kepada perkembangan perundangan kehakiman syariah di Sabah dan seluruh negara.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, sebanyak lebih RM64 juta peruntukan kewangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tahun ini diagihkan kepada Sabah yang merupakan imbuhan tahunan dan elaun kepada 6,857 orang guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), Imam, Bilal, Siak dan Guru Takmir di seluruh Sabah.

Katanya, peruntukan itu adalah bagi pembayaran imbuhan sebanyak RM850 sebulan kepada 1,699 imam; RM900 sebulan elaun kepada 421 guru takmir dan elaun sebanyak RM1,261.35 sebulan kepada 2,490 guru KAFA.

“Selain itu, peruntukan itu juga merangkumi caruman PERKESO sebanyak RM232.80 setahun kepada 4,367 imam, bilal, siak dan guru takmir.

“Peruntukan ini juga termasuk bayaran khas One-Off sebanyak RM600 kepada 1,699 imam, 2,247 bilal dan siak; 421 guru takmir dan 2,490 guru KAFA,” katanya.

Peruntukan kewangan itu disampaikan kepada Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Seri Yahya Hussin dan turut disaksikan Tun Juhar.

“Semoga dengan peruntukan tersebut pengurusan hal ehwal Islam di negara ini akan dapat terus diperkasakan bagi membina generasi Al-Falah selaras dengan aspirasi Membangun Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO PEJABAT MENTERI JPM

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular