HomeUtamaTaman-Taman Sabah ambil langkah tingkat tahap keselamatan pendaki

Taman-Taman Sabah ambil langkah tingkat tahap keselamatan pendaki

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Taman-Taman Sabah (TTS) akan mengambil langkah terbaik bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pendaki khususnya ketika hujan lebat di kawasan puncak Gunung Kinabalu.

Pengarah TTS Dr Maklarin Lakim berkata, ia termasuklah akan meneliti kesesuaian bagi membina jambatan besi via ferrata atau jejantas  bagi merentasi aliran air deras terutama ketika hujan lebat.

Katanya, pada ketika ini para pendaki terpaksa mengharungi aliran air deras jika hujan lebat berlaku di kawasan puncak gunung.

“Untuk langkah keselamatan, tali putih direntang di laluan pendakian sebagai panduan dan pendaki dipimpin oleh malim gunung. Seorang malim hanya dibenarkan membawa maksimum lima orang pendaki untuk tujuan keselamatan.

“Langkah keselamatan lain di laluan ini sedang diteliti, termasuk kesesuaian memasang ‘jambatan-besi’ (via ferrata) atau membina jejantas merentangi ‘sungai’ puncak gunung,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Maklarin berkata demikian bagi mengulas klip video yang memaparkan sekumpulan pendaki mengharung aliran air yang deras di kawasan puncak Gunung Kinabalu yang dimuat naik di laman Facebook TTS kelmarin.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, seramai 115 pendaki yang diiringi 37 malim gunung berada di kawasan puncak apabila hujan lebat berlaku dan menyebabkan aliran air yang deras.

Dalam pada itu,  Maklarin berkata pendakian ke puncak Gunung Kinabalu dari tempat penginapan di Panalaban dimulakan seawal jam 2 pagi ketika keadaan cuaca masih baik.

“Pendakian hanya dibatalkan jika cuaca buruk sejak dari malam atau awal pagi lagi. Laporan di media sosial adalah akibat hujan lebat berterusan setelah pendaki melepasi pos kawalan Sayat-Sayat di Kilometer 7.2 dan di puncak gunung,” katanya.

Maklarin turut mengingatkan bahawa aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu yang berada di altitud tinggi sama seperti aktiviti sukan lasak yang lain adalah mencabar dan berisiko meskipun ciri-ciri keselamatan sudah dititikberatkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji terima kunjungan hormat Penasihat Komuniti Puisi Esei Asean Denny JA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya