HomeUtamaKonsert berunsurkan bahasa etnik tempatan wajar dipuji

Konsert berunsurkan bahasa etnik tempatan wajar dipuji

Read Time:1 Minute, 33 Second

Penampang : Usaha menganjurkan konsert berunsurkan patriotik dalam bahasa etnik tempatan khususnya di negeri ini amat dialu-alukan dan wajar dipuji.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, penyampaian mesej kenegaraan menerusi penganjuran Konsert Keehoi Malaysiaku yang menampilkan artis tempatan dengan lagu bahasa etnik merupakan satu keunikan yang tidak boleh dinafikan kekuatan dan keberkesanannya.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada RTM Sabah khususnya Radio SABAHVfm atas penganjuran Konsert Keehoii Malaysiaku yang antara lain bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia.

“Selaras Nilai Teras – Hormat dalam Konsep Malaysia Madani, konsert ini bukan sahaja meraikan kemajmukan dan kekayaan tradisi khususnya bahasa etnik yang terdapat di Sabah, malah pada masa sama menyuntik semangat cintakan negara Malaysia dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konsert Keehoii Malaysiaku SabahVfM 2023 di Buhavan Square di sini semalam.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, penganjuran Konsert Keehoi Malaysiaku itu turut mendekati pendengar menerusi penglibatan juruhebah daripada siaran Bahasa Kadazan, Dusun, Murut dan Bajau bagi mempromosi rancangan terbitan SABAHVfm.

“Justeru, saya mengajak semua agar memanfaatkan konsert dan program seumpamanya untuk memperkukuh perpaduan sesama kita yang berbilang kaum di negeri ini selari Nilai Teras – Kemampanan dalam Malaysia Madani dalam mencapai mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan.

“Saya yakin, Kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri sentiasa dan akan terus menyokong penganjuran Konsert Keehoi Malaysiaku pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut berharap RTM Sabah akan meneruskan penganjuran konsert ini yang menjadi platform terbaik bagi penguasaan bahasa etnik Bajau, Murut, Dusun dan Kadazan menerusi lagu dalam usaha memelihara bahasa etnik tempatan agar dapat terus dibangunkan dan tidak pupus ditelan zaman untuk diperdengarkan kepada masyarakat di persada dunia.

Konsert berlangsung selama dua jam itu menampilkan persembahan dari artis tempatan Sabah seperti Francis Landong; Rosario Bianis, Elyia Guntabid, Afiezal Fahmi Inggu dan Jaidy KAmlun @ Lobo. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular