HomeSukanPiala AFC : Permulaan positif namun banyak perlu diperbaiki - Kim Swee

Piala AFC : Permulaan positif namun banyak perlu diperbaiki – Kim Swee

Read Time:2 Minute, 5 Second

Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui pasukannya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki meskipun berjaya menewaskan Hougang United FC 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan H saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Likas malam tadi.

Katanya, antara yang perlu diperbaiki adalah dari segi penyudah yang dilihat gagal untuk disempurnakan oleh para pemain meskipun banyak peluang yang terhidang.

“Satu permulaan yang positif dimana kita tahu dengan keadaan cuaca atau padang yang tidak begitu baik, kita mampu mendapatkan keputusan yang kita inginkan.

“Namun banyak lagi yang kita perlu perbaiki terutama dari segi penyudah dan ini penting jika kita ingin layak ke peringkat seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan di sini semalam.

Pada perlawanan itu, tiga gol yang diperolehi Sabah dijaringkan Gabriel Peres pada minit ke-5 dan dua gol dari Darren Lok masing-masing pada minit ke-38 dan minit ke-63, manakala gol tunggal Hougang United dijaringkan Takayama Kazuma pada minit ke-62.

Kim Swee berkata, keadaan padang yang berlumpur dan licin dilihat sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan taktikal pasukan itu.

“Permukaan padang yang licin ini sedikit sebanyak merencatkan perancangan kita namun kita berjaya mendapatkan dua gol melalui ‘Set Piece’ dan juga semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh para pemain selepas kita dibolosi,” katanya.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memuji komitmen para pemainnya yang tetap mempamerkan corak permainan yang cukup tinggi walaupun sedang mendahului.

“Kita tidak boleh mengambil mudah walaupun mendahului.  Ini penting untuk kita kekal disiplin dan pada malam ini pemain menunjukkan tahap disiplin yang cukup tinggi walaupun kita mendahului.

“Walaupun kita gagal menyudah banyak peluang yang kita cipta, tetapi pemain terus cuba mendapatkan gol-gol namun banyak peluang yang kita sia-siakan namun saya percaya kita mampu perbaiki nanti,” katanya.

Sementara tu, Kim Swee turut mengucapkan terima kasih kepada semua para penyokong yang setia walaupun dengan keadaan hujan yang turun sebelum perlawanan hingga akhir perlawanan.

“Mereka merupakan penyokong yang penting bagi kita apabila setiap kali bermain terutama di Likas dimana ini akan memberi banyak motivasi kepada semua pemain yang diturunkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai objektif sasaran pasukan, Kim Swee berkata masih terlalu awal untuk kearah sasaran itu.

“Masih terlalu awal, kita banyak lagi perlawanan antaranya Piala AFC, selepas ini kita mempunyai perlawanan Piala Malaysia dan juga liga.  Bagi saya untuk memastikan kita mencapai objektif ataupun tidak, ianya hanya dapat ditentukan pada penghujung musim.

“Dimana ini akan memberi kesan atau apa yang perlu kita perbaiki pada musim akan datang,” katanya. – SABAH MEDIA. / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular