HomeUtamaESSCOM terus pergiat operasi pastikan keselamatan awam di ESS Zone terjamin

ESSCOM terus pergiat operasi pastikan keselamatan awam di ESS Zone terjamin

Read Time:2 Minute, 0 Second

Kudat : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) terus mempergiat koordinasi dalam melaksanakan Operasi Bersepadu (OB) bagi memastikan keselamatan awam dan penduduk setempat di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) kekal utuh dan terus ditingkatkan.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, menerusi OB itu tindakan penguatkuasaan bagi membanteras elemen jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan barang kawalan bersubsidi, tidak bercukai dan menguatkuasakan undang-undang sedia ada dapat dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh operasi yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam itu, sejumlah 1,030 pemeriksaan fizikal terhadap orang,  86 kenderaan darat serta 85 rumah dan premis telah dilaksanakan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina didapati menetap di negara ini tanpa dokumen yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan telah ditahan mengikut  Seksyen 51(5)(b) di bawah akta yang sama, serta diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Daerah Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) daerah Kudat turut melaksanakan pemotongan penyambungan paip air secara haram tanpa meter di sebuah premis berdekatan Pekan Sikuati mengikut Seksyen 53 Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003.  

Selain katanya,sebanyak enam keping saman trafik dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).  

“Selaras dengan kejayaan operasi ini, pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada 85 orang pegawai dan anggota yang menjayakan operasi kali ini serta semua Jabatan dan agensi yang terlibat.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan hasil perancangan inklusif dan usaha murni Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM untuk memperkasa operasi-operasi sedia ada di bawah PDRM, ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengekang ancaman pencerobohan anasir asing.

“Selain itu juga adalah bagi memastikan pemeliharaan keselamatan awam di pantai Timur Sabah diperkukuh dari semasa ke semasa melalui tindakan penguatkuasaan yang bersepadu dan teratur oleh pelbagai Jabatan/ agensi,” katanya.

Dalam pada itu, Victor berkata, ESSCOM turut komited untuk terus mempergiat operasi-operasi seumpama ini  ke daerah-daerah di ESSZone bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di pantai Timur Sabah.

Justeru katanya, masyarakat diseru untuk menjadi mata dan telinga Kerajaan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan  di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – SABAH MEDIA/FOTO ESSCOM

RELATED ARTICLES
Utama

Isu MA63: Kerajaan Sabah Kekal Konsisten Tuntut Hak – Nizam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular