HomeUtamaMOSTI pastikan Malaysia tidak ketandusan modal insan dalam STI

MOSTI pastikan Malaysia tidak ketandusan modal insan dalam STI

Read Time:2 Minute, 36 Second

Kalabakan :  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan negara ini tidak akan ketandusan ‘talent pool’ atau modal insan dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi menampung permintaan dalam industri berasaskan teknologi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, peluang-peluang pekerjaan dalam bidang STI mampu melonjakkan lagi pendapatan individu khususnya golongan muda di luar bandar.

Katanya, ia menerusi penawaran pelbagai kerjaya yang luas sejajar dengan perkembangan teknologi yang pesat.

“Peluang-peluang pekerjaan dalam bidang STI mampu melonjakkan lagi pendapatan individu dengan menawarkan gaji yang lumayan.

“Ini adalah bagi membolehkan anak-anak muda kita merebut peluang-peluang ekonomi dalam bidang STI dimana ianya bermula daripada penglibatan aktif para pelajar kita dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kembara Sains Borneo Siri Dua 2023 di sini hari ini dan turut dihadiri Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Arthur berkata, Kerajaan juga telah berjaya menarik perhatian syarikat-syarikat gergasi teknologi luar seperti Infineon Technologies AG, Tesla, AWS dan banyak lagi untuk melabur di Malaysia dan secara tidak langsung membawa peluang pekerjaan dalam bidang STI untuk diisi warga tempatan.

Justeru katanya, bagi memastikan usaha tersebut tercapai, MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Kembara Sains Borneo (KSB) Siri Dua yang merupakan inisiatif di bawah payung besar Minggu Sains Negara (MSN).  

Tambahnya, KSB merupakan program yang julung kalinya diadakan di Sabah dan usaha ini merupakan inisiatif untuk merapatkan jurang pembudayaan sains dalam kalangan anak-anak muda sekaligus meningkatkan populariti dalam bidang STI.

“Melalui KSB Siri dua ini, PSN membawakan pengalaman sesebuah Pusat Sains kepada komuniti luar bandar dengan menyediakan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan serta membawa bahan-bahan pameran interaktif khas dibawakan daripada Kuala Lumpur.

“Parlimen Kalabakan merupakan lokasi kedua dalam Kembara Sains Borneo Siri 2 yang mana pada 15 September yang lalu PSN telah menjelajah Parlimen Kimanis dan berjaya menarik seramai 10,212 pengunjung di sepanjang 3 hari berlangsungnya KSB Siri 2 di Parlimen Kimanis,” katanya.

Melihat kepada sambutan yang meriah di Parlimen Kimanis dan Kalabakan, Arthur berkata, kementeriannya percaya sasaran yang ditetapkan pada awal penganjuran program dengan kehadiran seramai 20,000 pengunjung akan dapat dicapai di penghujung KSB Siri 2 yang akan berlangsung di Parlimen Pensiangan hujung bulan ini.

Terdahulu, Andi turut Kalabakan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua rakan-rakan strategik yang telah memberikan kerjasama dan sokongan penuh bagi menjayakan program Kembara Sains Borneo Siri 2.

Katanya, hampir 2,900 pelajar telah mengikuti empat program sampingan yang dilaksanakan pada 20 hingga 21 September lalu di tiga buah sekolah di Parlimen Kalabakan iaitu SK Kukusan, SK Merotai Besar dan SMK Merotai Besar.

KSB Siri 2 berlangsung di tiga lokasi terpilih di Sabah iaitu Kimanis (15-17 September 2023), Kalabakan (22-24 September 2023) dan Pensiangan (29 September – 1 Oktober 2023) dan penyertaan dan kemasukan adalah percuma kepada semua.

Program Kembara Sains Borneo Siri 2 adalah anjuran PSN sebuah agensi di MOSTI dengan sokongan padu oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan rakan-rakan strategik yang lain. – SABAH MEDIA/FOTO MOSTI

RELATED ARTICLES
Utama

400 menara telekomunikasi di Sabah siap hujung tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular