HomeUtamaRanau, daerah tagal ekopelancongan terbanyak di Sabah

Ranau, daerah tagal ekopelancongan terbanyak di Sabah

Read Time:3 Minute, 49 Second

RANAU: Sebanyak 126 buah tagal di Ranau menjadikan ia daerah yang terbanyak jumlah tagal di Sabah dan juga daerah yang mempunyai tagal ekopelancongan yang terbanyak di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, beliau mengucapkan syabas kepada daerah Ranau atas kejayaan mengendalikan sistem tagal dan menjadikan daerah itu mempunyai tagal ekopelancongan yang terbanyak di negeri ini.

“Syabas saya ucapkan kepada daerah Ranau yang begitu sinonim dengan sistem tagal. Menyedari perkara tersebut, Jabatan Perikanan Sabah telah mewujudkan sebuah Pusat Informasi Tagal di Kampung Luanti, Ranau sebagai satu pusat pembelajaran dan pendedahan kepada orang awam tentang hal ehwal pengurusan program tagal,” kata Dr Joachim selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Tagal (MoU Tagal) antara sembilan Jawatankuasa Tagal dengan Jabatan Perikanan Sabah di Pusat Informasi Tagal Ranau di Kampung Luanti di sini pada Jumaat (29 Sept).

Jabatan Perikanan Sabah setakat ini telah menandatangani MoU Tagal dengan 31 jawatankuasa tagal di negeri ini, termasuk 12 jawatankuasa tagal di Ranau.  

Sembilan daripada jawatankuasa tagal tersebut di daerah ini merupakan yang terbaharu menandatangani MoU Tagal dengan jabatan tersebut.

Ia melibatkan Tagal Kg. Gana Gana, Tagal Kg. Lobou Lama, Tagal Kg. Tompios, Tagal Kg. Kilimu, Tagal Kg. Togop Darat, Tagal Kg. Lobou Timbua, Tagal Kg. Nalapak, Tagal Kg. Perancangan and  Tagal Kg. Paus.

MoU Tagal adalah satu nota kerjasama di antara kedua-dua pihak, yang membolehkan Jabatan Perikanan Sabah memainkan peranan sebagai penasihat teknikal, memantau pencapaian sistem tagal yang sedia ada, menjalankan penyelidikan (R&D) ke arah memperbaiki lagi sistem tagal dan mempromosi aktiviti ekopelancongan di kawasan tagal, manakala jawatankuasa tagal pula berperanan dalam pengurusan kesalahan dan denda, mengurus harian kawasan tagal dan melaporkan data pendaratan hasil penuaian serta penangkapan kepada Jabatan Perikanan Sabah.

Tagal yang telah menandatangani MoU dengan pihak Jabatan Perikanan layak menerima bantuan prasana seperti kemudahan pondok dan tandas serta lain-lain bantuan tertakluk kepada adanya peruntukan dan kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Sistem Tagal Jabatan Perikanan Sabah. Bantuan-bantuan peralatan seperti papan tanda dan tong ikan juga boleh dipohon.

Mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Perikanan Sabah di atas usaha-usaha yang telah diambil dalam memajukan lagi sistem tagal di Sabah serta jawatankuasa tagal yang terlibat, Dr. Joachim yang juga Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, kerjasama di antara Jabatan Perikanan Sabah dan jawatankuasa-jawatankuasa tagal di bawah program MoU ini pastinya dapat memperbaiki dan memajukan lagi pengurusan setiap tagal yang terlibat.

Dr. Joachim berkata, Jabatan Perikanan yang merupakan salah satu jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah, telah mengambil inisiatif semenjak tahun 2002 untuk memajukan dan memantapkan lagi pelaksanaan sistem tagal.

Menurutnya, di bawah inisiatif itu Jabatan Perikanan Sabah bertindak sebagai penasihat teknikal kepada semua ahli jawatankuasa tagal di setiap daerah dan mempromosi sistem tagal kepada daerah-daerah yang belum menjalankan sistem tagal.

Jabatan Perikanan juga turut memperkenalkan konsep pengezonan kawasan tagal iaitu zon hijau (penangkapan ikan dibenarkan sepanjang tahun), zon kuning (penangkapan ikan adalah secara berjadual) dan zon merah (penangkapan ikan adalah tidak dibenarkan).

“Konsep pengezonan ini diwujudkan adalah agar pengurusan sumber perikanan sungai dapat dijalankan dengan lebih baik dan teratur,” jelasnya.

Sistem tagal berkonsepkan penglibatan komuniti dan melalui aktiviti tagal, pendapatan masyarakat luar bandar dapat ditingkatkan dengan adanya hasil tuaian ikan yang banyak, aktiviti tagal ekopelancongan seperti bermain ikan jinak, berkhemah di tepi sungai dan sukan memancing.

Menyedari betapa pentingnya konsep dan objektif sistem tagal ini, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah menetapkan 10 buah tagal pada tahun 2023 sebagai salah satu Key Performance Index (KPI) Jabatan Perikanan Sabah.

KPI tagal ini telahpun tercapai, malah Jabatan Perikanan Sabah telah dapat mewujudkan sebanyak 14 buah tagal yang baharu, melebihi 40 peratus daripada sasaran yang ditetapkan. Ini menunjukkan konsep tagal ini sememangnya mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat.

Selain sebagai satu sistem untuk melindungi, memulihara dan mengurus sistem perikanan sungai, katanya, sistem tagal juga telah berjaya menjadi satu produk pelancongan yang berjaya di Sabah.

Dr. Joachim berharap agar segenap lapisan masyarakat khususnya di daerah Ranau akan dapat meningkatkan ekonomi dan sekaligus keluar daripada kepompong miskin tegar.

Dalam majlis itu, Dr. Joachim turut menyempurnakan penyerahan bantuan Jabatan Perikanan Sabah kepada sembilan Jawatankuasa Tagal, penyerahan sebuah tandas dan ‘walkway’ beratap kepada Tagal Kg. Luanti, penyerahan saguhati kepada pelajar-pelajar cemerlang bagi tahun 2022, Kg. Paus, Ranau serta penyampaian hadiah kepada pemenang sukaneka tagal.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin; Pengarah Perikanan Sabah, Azhar Kassim; Penguasa Perikanan Daerah Ranau, Tamlie Raiman; Ketua Daerah Ranau, OKK Muhasip Roman; Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin; Pengerusi Tagal Kg Paus yang mewakili 9 Jawatankuasa Tagal, Julie Yabi dan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Farihah Mohd Jamian.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Sabah di KUIPs turut terima manfaat bantuan subsidi tiket penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya