HomeUtamaUsaha atasi masalah bekalan air, elektrik sentiasa jadi keutamaan

Usaha atasi masalah bekalan air, elektrik sentiasa jadi keutamaan

Read Time:2 Minute, 7 Second

Tuaran : Masalah gangguan bekalan air dan elektrik yang dialami rakyat Sabah pada ketika ini dijangka akan dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun dari sekarang.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa langkah sudah diambil dan dilaksanakan termasuk menambah kapasiti bekalan kedua-dua keperluan rakyat itu mulai sekarang.

Katanya, usaha mengatasi masalah bekalan air dan elektrik yang dihadapi rakyat di negeri ini juga sentiasa menjadi keutamaan ke arah mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat dapat bekalan air dan elektrik yang menjadi masalah sekarang, dan kita akan pastikan kedua-dua masalah ini dapat diselesai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun lagi ke hadapan.

“Jika diurus dengan baik, insyaAlah kita boleh atasi kedua-dua isu ini yang menjadi kegusaran rakyat pada masa ini. Kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerana itu kita buat perancangan rapi dan tentukan bahawa projek pembangunan rakyat berjalan mengikut jadual dan dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman 2023 di Dewan Sri Sulaman di sini hari ini.

Hajiji berkata, bagi masalah air, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tamparuli, yang sedang dalam proses penyiapan akhir naik taraf ketika ini dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.

Katanya, penyiapan projek itu akan menambah kapasiti bekalan air sebanyak 80 juta liter sehari (JLS) untuk menampung keperluan di utara Kota Kinabalu dan daerah ini, sekali gus dapat mengurangkan gangguan bekalan air yang dialami penduduk di keduadua kawasan ketika ini.

Beliau berkata, loji berkenaan adalah antara loji tambahan yang dirancang untuk menangani kekurangan bekalan air di kawasan ibu negeri dan sekitarnya, termasuk sebuah lagi di LRA Kogopon, Papar.

“Untuk air, Kerajaan Negeri sudah mula membina loji bagi meningkatkan bekalan air dari 40 JLS kepada 80 JLS di Kogopon, Papar yang sedang dilaksanakan dengan kos RM380 juta dan dijadual siap pada 2026.

“Selain itu sebanyak 80 JLS lagi tambahan di LRA Telibong II bagi mengatasi masalah air di utara bandar raya Kota Kinabalu dan Tuaran yang akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan,” katanya.

Katanya, masalah bekalan air di Sabah akan dapat ditangani dengan lebih berkesan khususnya menerusi usaha Kerajaan Negeri selain peruntukan RM320 juta dari Kerajaan Persekutuan baru-baru ini untuk penyelesaian jangka pendek masalah air di Sabah.

Sementara itu, Hajiji berkata, bagi bekalan elektrik, antara usaha yang diambil ialah menerusi pembinaan loji janakuasa hidroelektrik dan empangan di Ulu Padas, Tenom.

Katanya, pelaksanaan projek itu bakal dimulakan dalam masa terdekat dan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular