HomeIsu tempatanJPN Sabah adakan Hari Bertemu Pelanggan

JPN Sabah adakan Hari Bertemu Pelanggan

Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Hari Bertemu Pelanggan  Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah akan diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Khamis depan.

Pengarahnya, Ervina Kebahi @ Syarafina Ibrahim berkata, pada tahun ini JPN menyambut ulang tahun Jubli Intan Ke-75 Tahun dengan tema sambutan ‘Perkhidmatan Berkualiti Memacu Rakyat Beridentiti’. 

“Selaku agensi yang bertanggungjawab dalam pendaftaran dokumen-dokumen pengenalan diri, JPN sentiasa komited memastikan mutu penyampaian perkhidmatan  terbaik dan berkualiti agar pengurusan identiti penduduk dilindungi dan diurus dengan penuh integriti, cekap serta efisien.

“Sesuai dengan tema sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN), JPN Sabah telah merancang beberapa aktiviti sepanjang Oktober bagi menyantuni masyarakat di bandar dan di pedalaman untuk berurusan serta mendapatkan khidmat nasihat. 

“Manakala, aktiviti turun padang melalui Jelajah Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) akan diadakan di beberapa tempat terpilih sepanjang bulan ini seperti di tamu, pasar, pekan, pusat membeli belah dan institusi pengajian tinggi serta sekolah,” katanya semasa ditemui di Wad Kenanga Tiga, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Beliau turut memberitahu Jelajah MEKAR telah bermula pada 1 Oktober 2023 di Tamu Jalan Gaya Kota Kinabalu dan disusuli di tempat lain iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni Papar, Pasar Pekan Tamparuli dan Pekan Kundasang.

“Jelajah juga akan dibuat di Tamu Tuaran, Tamu Tambunan, Tamu Kota Belud, Pekan Telupid, Harbour Mall Sandakan, Tamu Tawau, Pekan Tungku, SURIA Mall, beberapa institusi pengajian tinggi dan sekolah terpilih. 

“Semasa program, orang ramai boleh membuat gantian MyKad yang akan siap dalam tempoh 30 minit dan mendapatkan khidmat nasihat mengenai urusan pendaftaran,” katanya di Program Santunan Kasih Bayi HWKSS. 

Program Santunan Kasih Bayi diadakan bagi meraikan 20 bayi bersempena Hari Pendaftaran Negara dan terdapat lapan kelahiran setakat tujuh pagi 1 Oktober 2023.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR),  Maria David, dan Timbalan Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Adrian Allan Richard.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular