HomeUtama238 graduan KTYS terima Diploma, Sijil sempena Istiadat Konvokesyen KTYS Ke-26

238 graduan KTYS terima Diploma, Sijil sempena Istiadat Konvokesyen KTYS Ke-26

Read Time:4 Minute, 17 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai 238 graduan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) hadir menerima Diploma dan Sijil masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen KTYS Ke-26 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Upacara Konvokesyen itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Komuniti Yayasan Sabah (KKYS) Sdn Bhd Datuk Tah Nia Jaman berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1990, KTYS telah melahirkan ramai graduan dari pelbagai bidang, dan telah berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor, menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, dan menjadi usahawan berjaya.

Katanya, penghasilan seperti ini cukup membanggakan kerana KTYS telah berjaya menterjemah sesuatu yang dahulunya adalah impian graduan dan kini sudah menjadi satu realiti, realitinya adalah graduan dari kolej ini melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan ke Beijing, China.

“Pada Upacara Konvokesyen hari ini, sekalung tahniah para graduan, juga kepada para penerima Anugerah Graduan Cemerlang, Anugerah Ketua Eksekutif dan Anugerah Pingat Emas pada tahun ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Tah Nia berkata, para graduan kini adalah sebahagian daripada Alumni KTYS dan menggelarkan mereka sebagai Duta KTYS.

“Para graduan, anda adalah sebahagian rangkaian Alumni KTYS boleh memainkan peranan sebagai Duta yang memperkenal dan memperkasa KTYS agar terus cemerlang di persada pendidikan negeri dan negara.

“Selain Anugerah Kecemerlangan Graduan, satu lagi Anugerah Ikonik KTYS pada istiadat hari ini yang pertama kali diperkenalkan merupakan penganugerahan kepada Alumni Kolej yang telah mencapai kecemerlangan dan memberi sumbangan kepada mahasiswa, Alumni dan komuniti, di peringkat negeri dan juga kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki turut meluahkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan negeri di atas pengumuman dan kelulusan lima inisiatif yang diberikan kepada KTYS untuk memperkasa kemudahan pembelajaran di kolej itu.

“Saya ingin ucapkan terima kasih diatas pengumuman dan juga kelulusan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kepada kolej kita. Sebenarnya kolej ini amat dekat di hati YAB Ketua Menteri apabila setiap kali kami berkunjung, Datuk Seri akan bertanya kepada kita apakah keperluan-keperluan kolej, oleh itu kami dengan rendah diri memaklumkan secara berterus terang betapa kolej kami ini memerlukan pembelaan dan pembiayaan dari sudut kewangan.

“Kami yakin dengan adanya sentuhan YAB Ketua Menteri, maka kolej ini akan bertambah maju dengan adanya kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan kakitangan akan menjadi lebih bermotivasi untuk berkhidmat demi anak bangsa kita di negeri Sabah ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai keselamatan 21 pelajar KTYS yang melanjutkan pengajian ke negara Timur Tengah baru-baru ini, Haji Samin berkata, tiada isu mengenai keselamatan pelajar KTYS di sana.

“Buat masa ini tiada isu keselamatan sebab pelajar kita di Mesir dan Jordan, kita sentiasa bekerja rapat dengan Kementerian Luar Malaysia untuk memastikan keselamatan mereka, jadi ini memang cabaran kalau anak-anak kita belajar di luar negara kadang-kadang berlaku perang seperti di Mesir rampasan kuasa, maka mereka terpaksa menangguhkan pengajian tapi kita berdoa semoga keamanan akan kembali di kawasan itu dan mereka akan belajar dengan lebih baik lagi,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau turut menasihatkan kepada ibu bapa kepada 21 pelajar tersebut supaya tidak bimbang kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan keselamatan mereka di sana.

“Kami menasihatkan kepada ibu bapa janganlah bimbang, kerajaan sama ada dalam persekutuan ataupun kerajaan negeri sentiasa memantau keselamatan anak-anak kita di Jordan dan Mesir, yang penting kita banyak-banyak berdoa semoga mereka akan belajar dengan selamat dan lebih baik lagi,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya keselamatan tidak mengizinkan sudah tentu kerajaan akan memanggil mereka pulang secara teratur.

Turut ditanya mengenai sebab menghantar pelajar ke negara Timur Tengah, jelas beliau, walaupun KTYS mempunyai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tetapi keperluan kepada pendidikan agama atau melahirkan tenaga mahir berilmu dalam bidang agama di Sabah masih mendesak.

“Contohnya kita kekurangan guru agama sekarang, kita kekurangan pegawai di Jabatan Kehakiman Syariah dalam kalangan anak Sabah, oleh itu kita perlu membekalkan tenaga-tenaga modal insan ini untuk negeri ini,” jelas beliau.

Penerima Anugerah Pingat Emas, Dayang Norfrida diapit oleh ayahnya Datu Akmadun Datu amir dan ibunya Aminah Ahmad.

Sementara itu, Penerima Anugerah Pingat Emas, Dayang Norfrida Datu Akmadun, 21, mengambil pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak turut meluahkan rasa syukur dan gembira kerana berjaya hingga ke tahap itu dan bercadang ingin melanjut pengajian hingga ke peringkat Ijazah.

Dayang Norfrida anak kepada seorang buruh kasar berasal dari Kota Kinabalu tidak pernah berputus asa walaupun dengan menjalani kehidupan yang sederhana.

“Banyak cabaran yang saya tempuh untuk mencapai kejayaan ini, tapi saya tidak pernah berputus asa, cabaran semasa pandemik, belajar secara dalam talian dan saya terpaksa usaha lebih untuk memahami setiap subjek yang diajar oleh pensyarah kerana bukan secara bersemuka.

“Syukur Alhamdulillah, saya sangat gembira dan sangat berterima kasih kepada kedua orang tua saya kerana menyokong saya untuk menyambung pengajian, terima kasih juga kepada tenaga pengajar KTYS yang banyak membimbing saya dan tahniah untuk para graduan lain, saya harap kita akan berjumpa dengan jayanya apabila berada di luar sana nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Upacara Konvokesyen itu.

Dayang Norfrida anak bongsu daripada enam beradik itu bercita-cita ingin menjadi seorang guru tadika yang berdedikasi dan ingin mencurahkan bakti memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak di negeri Sabah ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Sistem air minuman secara mudah alih, berkuasa solar berjaya dibangunkan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular