HomeIsu tempatanKerjasama UMS, NBUC bantu tingkat kesedaran politik dan kewarganegaraan demokratik belia

Kerjasama UMS, NBUC bantu tingkat kesedaran politik dan kewarganegaraan demokratik belia

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu: Program Pendidikan Literasi Politik dan Kewarganegaraan Demokratik mampu meningkatkan lagi tahap kesedaran politik dan kewarganegaraan demokratik belia “Undi18”.

Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Lai Yew Meng selaku ketua program berkata, program sebegini wajar diadakan memandangkan realiti semasa yang mendedahkan tahap literasi politik dan kesedaran kewarganegaraan demokratik yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama sekali golongan belia.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran, literasi dan kecelikan politik belia di Sabah dengan hasrat menerapkan falsafah bernegara Malaysia dalam pembangunan literasi politik dan kewarganegaraan demokratik.

“Ia melalui pelaksanaan modul-modul latihan yang bersesuaian secara bersiri kepada belia kumpulan sasaran yang terdiri daripada belia “Undi18” dalam kalangan pelajar NBUC,” katanya.

Program itu dianjurkan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama North Borneo University College (NBUC).

Dr Lai berkata, program itu juga berhasrat untuk menerapkan falsafah bernegara Malaysia MADANI dalam pembangunan literasi politik dan kewarganegaraan demokratik melalui pembinaan serta pelaksanaan modul latihan yang bersesuaian kepada belia kumpulan sasaran seperti pelajar NBUC.

“Program ini direka bentuk secara spesifik dengan matlamat untuk meningkatkan literasi politik belia Sabah melalui pembinaan modul serta pelaksanaan latihan Pendidikan Literasi Politik dan Kewarganegaraan Demokratik.

“Usaha ini turut dijajarkan kepada aspirasi global Sustainable Development Goals (SDG),” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Kanan NBUC, Profesor Madya Dr Steward G. Stephen berkata melalui pelaksanaan program ini, ramai belia NBUC boleh mendapat manfaat secara langsung di samping menjiwai ilmu kewarganegaraan demokratik, khususnya mereka yang berdaftar di bawah Fakulti Keselamatan dan Governan (Faculty of Security and Governance).

Program itu merupakan program pemindahan ilmu yang berlangsung selama tiga bulan dan akan berakhir pada 23 Disember ini.  

Antara yang terlibat dalam program tersebut ahli-ahli akademik UMS yang terdiri daripada Profesor Madya Dr Anantha Raman Govindasamy, Profesor Madya Dr Mohd Azri Ibrahim, Dr Kavitha Ganesan, Dr Shaffarullah Abdul Rahman, Dr Budi Anto Mohd Tamring, Dr Amy Azuan Abdullah, Dr Mohd Hatib Ismail dan Mohammad Aqmal Hafidz Musa.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

OHSC UMS anjur program kesedaran kerintangan antimikrobial

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular