HomeUtamaBajet 2024 : RM1.9 bilion peruntukan naik taraf, selenggara sekolah seluruh negara

Bajet 2024 : RM1.9 bilion peruntukan naik taraf, selenggara sekolah seluruh negara

Read Time:1 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merangkumi RM930 juta bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi sebanyak 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

“Sebanyak RM1 bilion pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah tamil dan cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.

“Sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion. Antaranya termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat petang tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan turut bersetuju untuk meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP)  mengikut   kadar   pendapatan   garis   kemiskinan   (PGK) RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

Katanya, peluasan syarat itu akan memberi peluang kepada tambahan 35,000 lagi anak bangsa daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.

“Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan tiga berbanding sehingga tingkatan satu sebelum ini.

“Keseluruhannya, satu juta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan RM 150 juta,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap peniaga Pakistan naikkan harga barang jualan – James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular