HomeUtamaDua projek mini estet padi bantu tingkatkan pengeluaran padi di Sabah

Dua projek mini estet padi bantu tingkatkan pengeluaran padi di Sabah

Read Time:2 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang melaksanakan dua mini estet padi di dua kawasan di Sabah dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi dan pendapatan pesawah di negeri ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Amir Matamin, berkata mini estet seluas 150 hektar itu dilaksanakan di Terusan Sapi, Beluran dan Kampung Kabatasan, Pitas.

Katanya, projek berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan pada 2021 dan 2022 bagi meningkatkan pengeluaran padi dan membantu pesawah di kawasan terbabit melaksanakan penanaman padi secara tersusun.

“Di Sabah, melalui peruntukan pada 2021 dan 2022, kita ada mini estet padi di Terusan Sapi, Beluran dan Kampung Kabatasan, Pitas dengan keluasan 150 hektar.

“Kedua-duanya masih dilaksanakan dan kita memantau perkembangannya. Mudah-mudahan dengan peruntukan ini akan berlaku peningkatan hasil padi dan pendapatan petani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat Peranan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan Ahli Pertubuhan Peladang (PP) Dalam Projek-Projek Pembangunan, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Amir berkata, selain mini estet padi, LPP turut terlibat dalam pelaksanaan Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang menekankan pengurusan penanaman padi secara tersusun.

Pada masa yang sama, katanya LPP turut terbabit dalam penyediaan kemudahan jentera dan mekanisasi bagi membantu pesawah dari segi penggunaan jentera untuk penghasilan yang lebih besar.

Katanya, bagi tahun ini LPP Sabah menerima 23 jentuai dan traktor baharu untuk meningkatkan lagi penanaman padi di negeri ini.

“Sebab itu dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kita memang fokus untuk mekanisasi dan automasi untuk membantu peladang dari segi kemudahan jentera,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua program LPP itu iaitu penyediaan jentera dan projek penanaman padi bertujuan untuk melonjakkan pengeluaran hasil padi.

“Bagaimanapun di Sabah, kita masih berdepan dengan masalah saliran. Tapi secara umumnya, melalui dua proram ini kita akan cuba meningkatkan hasil padi di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata tiada isu Sabah diberikan peruntukan yang kecil, iaitu antara enam hingga tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang diagihkan kerajaan kepada LPP di seluruh negara setiap tahun

Katanya, pengagihan peruntukan kepada setiap negeri bergantung kepada permohonan projek yang dikemukakan kepada LPP.

“Tiada isu enam peratus atau kurang, ia lebih kepada keperluan setempat nak mohon projek sebab lPP menyediakan program. Jika ia sesuai dengan skop dan apa yang perlu dilaksanakan, kita akan salurkan.

“Kita nak pastikan supaya peruntukan yang disalurkan kerajaan berjaya dan boleh meningkatkan sosio ekonomi. Sebab itu dalam penilaian projek kita amat berhati-hati dan hanya memberikan kepada mereka yang layak dana dapat melaksanakan projek.

“Ia bukan setakat berikan ‘touch point’. Kita nak supaya peruntukan kerajaan itu boleh meningkatkan pendapatan secara berterusan, bukan hanya setahun dua saja,” katanya.

Beliau merujuk kepada peruntukan diagihkan LPP di Sabah yang hanya RM4.9 juta atau tujuh peratus daripada RM71 juta pada tahun ini dan RM3.9 juta atau enam peratus daripada RM71 juta pada tahun lalu.

Dalam hal itu, katanya Pertubuhan Peladang perlu terlibat secara aktif dalam program pembangunan pertanian bagi membantu ahli dengan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan disediakan LPP.

“Tapi kita perlukan permohonan dan idea daripada kawasan masing-masing bagaimana kita boleh menggerakkan sebagai satu sinegri supaya peladang kita terbela dari segi projek yang ingin dilaksanakan.

“Sesungguhnya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat prihatin terhadap golongan peladang. Kita ambil berat keluh kesah dan isu berbangkit dalam soal bagaimana kita dapat membantu meningkatkan pendapatan ahli dan Pertubuhan Peladang dalam sub sektor pertanian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular