HomeSukanSeni silat perlu diketengahkan secara serius di Sabah

Seni silat perlu diketengahkan secara serius di Sabah

Read Time:2 Minute, 9 Second

Putatan: Seni silat perlu diketengahkan secara serius oleh persatuan-persatuan seni silat di negeri ini supaya popularitinya setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini termasuklah untuk menarik minat generasi muda supaya meminati seni silat sebagai ilmu mempertahankan diri selain mengekalkan warisan pusaka bangsa itu secara turun temurun.  

“Aktiviti persilatan di Sabah tidaklah serancak atau sehebat di Semenanjung kerana di negeri ini seni mempertahankan diri seperti karate dan taekwando lebih mendominasi masyarakat di Sabah.

“Fenomena ini harus diambil perhatian oleh persatuan-persatuan seni silat dan badan-badan bukan Kerajaan yang lain, terutama persatuan-persatuan kebudayaan, agar menyelitkan aktiviti persilatan di dalam program yang dianjurkan.

“Saya menggalakkan anak-anak muda menceburi apa juga bidang berkaitan  kesukanan, khususnya seni silat. Ia bukan hanya dapat mengisi masa lapang tetapi juga dapat menjauhkan diri daripada terjebak dalam aktiviti yang tidak berfaedah dan paling penting sebagai benteng yang dapat mempertahankan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Program Sabah International Silat Festival 2023 (SISF2023) di Dewan Sri Putatan, di sini hari ini

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Hajiji berkata, festival silat antarabangsa ini juga tepat pada masanya, selain pengunjung berpeluang melihat pelbagai seni silat tetapi juga festival ini mampu mempromosikan negeri Sabah di mata dunia, sekali gus menarik pelancong berkunjung ke negeri ini.

Justeru, beliau mengesyorkan agar penganjur mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, negeri termasuk agensinya untuk memasukkan Festival Silat ini ke dalam kalender sebagai satu lagi tarikan kepada pelancong.

“Saya percaya menerusi festival seperti ini, ia boleh menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri berkunjung ke Sabah. Sebenarnya seni silat bukan hanya terdapat atau dikenali di negara kita atau di Nusantara, tetapi juga mula terkenal di negara-negara luar.  

“Ramai individu asing, termasuk mereka yang berasal dari negara Barat, datang ke Malaysia dan ke Indonesia, semata-mata untuk mendalami ilmu persilatan.  Ini menunjukkan bahawa seni silat adalah setanding dengan seni mempertahankan diri yang lain,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menerusi Kementerian Belia dan Sukan negeri amat menggalakkan penyertaan anak muda dalam aktiviti riadah dan kesukanan termasuk seni silat.

“Saya berharap festival seperti ini dapat mencungkil bakat muda dalam seni silat di negeri ini, yang boleh diketengahkan untuk mengharumi nama negeri dan negara. Pada masa akan datang,” katanya.

SISF itu dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Sabah, selaku penganjur utama dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Pejabat Perutusan BIMP-EAGA Sabah dan Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS PESAKA Sabah).

RELATED ARTICLES
Utama

SSMJ kerjasama dengan agensi Kerajaan pastikan miskin tegar di Sabah dinoktahkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular