HomePendapatBelanjawan Madani, sediakah rakyat berubah

Belanjawan Madani, sediakah rakyat berubah

Read Time:4 Minute, 5 Second

Sudah pun berlalu pembentangan bajet MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri  Anwar Ibrahim dengan pelbagai inisiatif yang telah diperuntukan oleh kerajaan kepada semua lapisan masyarakat bagi mendepani tahun 2024. 

Berdasarkan laporan media arus perdana sebanyak 85 peratus tumpuan rakyat  terhadap belanjawan kali ini adalah berkisar mengenai bekalan beras (makanan) yang menghadapi masalah bekalan dan harga melambung tinggi sejak kebelakangan ini. 

Tidak dapat dinafikan kefahaman rakyat terutama di kawasan luar bandar kebanyakannya adalah harga dan bekalan makanan ditentukan oleh kerajaan secara mutlak namun masih terlalu ramai yang tidak memahami mengenai isu atau faktor sebenar kenaikan harga dan kekurangan bekalan ini berlaku. 

Pasca bajet ramai yang sedang menduga duga menjangkakan bahawa kenaikan harga barangan keperluan akan berlaku lebih besar menjelang 2024 iaitu apabila Perdana Menteri mengumumkan cukai SST dinaikkan kepada 8 % pada pembentangan bajet. 

Meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa kenaikan tidak sama sekali membabitkan sektor makanan dan telekomunikasi namun ia tidak begitu meyakinkan rakyat yang masih gelisah mengenai nasib mereka pada masa depan. 

Tambah menggusarkan apabila ada pihak pihak tertentu yang berkepentingan politik mula memainkan isu GST yang dijadikan sebagai penanda aras bahawa kenaikan harga barang makanan akan tetap berlaku walaupun kerajaan memberi jaminan ia tidak akan membabitkan sektor makanan. 

Kerajaan sudah bertukar empat kali begitu juga Perdana Menteri dalam tempoh enam tahun ini selepas Barisan Nasional tewas pada PRU-14 pada tahun 2018 namun sehingga kini tidak ada sebarang penyelesaian tuntas untuk memberi noktah terhadap segala permasalahan berkaitan isu bekalan dan harga barangan keperluan rakyat. 

Justeru sudah sampai masanya untuk rakyat berfikiran lebih kritikal berdasarkan fakta dan tidak semata mata membuat kritikan secara emosi yang berlebihan dan terlalu berpolitik. Dalam erti kata lain rakyat juga perlu berubah. 

Kali ini rakyat harus sedar bahawa tindakan menukar kerajaan bukan satu satunya penyelesaian terhadap segala isu yang berlaku tetapi bagaimana mereka membuat penilaian memerlukan paradigma pemikiran supaya mereka tidak lagi terlalu mudah termakan dengan propaganda atau janji bohong politik. 

Isu keterjaminan makanan ini bukan lagi soal siapa yang memerintah namun tidak dapat dinafikan kekuatan politik juga masih perlu untuk menentukan tindakan yang bakal diambil oleh sesebuah kerajaan bagi menentukan ekosistem pasaran yang lebih sihat. 

Rakyat harus sedar secara asasnya bahawa banyak faktor selain tindakan kerajaan yang boleh menentukan harga barangan di dalam pasaran dan mereka perlu memahami di mana letaknya bidang kuasa kerajaan  dalam menentukan ekosistem ekonomi ini sentiasa sihat. 

Wujudnya kartel beras yang memanipulasi harga dan bekalan menyebabkan kesukaran di pihak kerajaan mengawal harga di pasaran selain rakyat juga harus mempunyai sedikit pengetahuan mengenai faktor faktor asas ekonomi tawaran dan permintaan. 

Isu kartel yang sudah terlalu lama berkuasa ini bukan sahaja mengawal pasaran dan bekalan beras tetapi bekalan makanan lain seperti ayam, telur, gula, minyak dan banyak lagi. 

Sekali lagi kartel memainkan peranan merosakkan teori asas ekonomi ini kerana kartel kartel ini lah  yang berupaya menyekat atau menyorok bekalan dan mampu memanipulasi harga. 

Kartel sememangnya amat beminat dengan perniagaan ini kerana keterjaminan dari segi permintaan kerana bekalan makanan asas ini sesuatu yang tidak dapat dielak oleh pengguna. 

Meskipun kartel atau sesetengah pihak peniaga sentiasa sentiasa merungut mengenai untung yang kecil  atau merugikan namun hakikatnya mereka telah memanipulasi pasaran sejak sekian lama dalam negara ini. 

Benar jika rakyat memahami keadaan ini sekalipun, ia bukan jalan penyelesaian terhadap isu yang berlaku, namun ia membantu rakyat daripada terlalu beremosi menghadapi isu seperti ini lebih bersedia  dan berpengetahuan  jika masalah sama berulanga. 

Kerajaan hari ini juga walaupun bukan pemenang mutlak yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU 15 tetapi masih memberi tumpuan terhadap perkara perkara yang berkaitan dengan keterjaminan makanan. Sudah tentu setiap kerajaan yang dibentuk akan Kembali kepada prinsip asas keperluan rakyat perlu diberi perhatian. 

Kerajaan pada bajet 2024 memperuntukkan sebanyak RM3 billion untuk menaiktaraf infrastruktur pengairan di Kawasan MUDA selain pesawah juga menerima kenaikan harga lantai belian padi pada harga RM1,300 per tan metrik berbanding RM1,200 sebelum itu. 

Sungguhpun begitu kesannya terhadap penurunan harga makanan di dalam pasaran tidak lah besar dan jelas sekali inisiatif ini adalah menjurus secara langsung kepada menstabilkan pendapatan pesawah diseluruh negara. 

Kerajaan selain itu juga sudah memulakan dasar subsidi bersasar bagi sektor lain contohnya harga diesel bersubsidi yang disasarkan kepada golongan tertentu yang layak bermula 2024.

Pada belanjawan 2023 kerajaan memperuntukkan RM64 bilion bagi perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan tahun 2024 ini jumlah itu dikatakan mencecah RM81 bilion. 

Sekali pun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam menurunkan kos sara hidup, hakikatnya ia lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga murah pula meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Malah, subsidi dikatakan turut dihirup oleh lebih 3.5 juta warga asing.

Nah tidak mustahil pada masa depan subsidi bekalan makanan juga akan secara perlahan lahan akan mengalami rasionalisasi atas dasar kerajaan untuk memastikan subsidi yang dibelanjakan dinikmati oleh pihak yang berkenaan. Adakah rakyat bersedia mendepani semua cabaran ini? – FOTO BERNAMA

RELATED ARTICLES
Pendapat

Masalah generasi muda perlu pendekatan menyeluruh, merentasi seluruh agensi Kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya