HomeUtamaSabah tuan rumah simposium serantau pertama SBCC

Sabah tuan rumah simposium serantau pertama SBCC

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Lebih 150 ahli profesional, pakar dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia telah menyertai simposium serantau pertama dalam bidang komunikasi perubahan sosial dan tingkah laku (SBCC) mulai hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini.

Program SBCC yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama oleh UNICEF Malaysia dan tiga universiti awam terkemuka iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Wakil UNICEF Malaysia dan Wakil Khas Brunei Darussalam, Robert Gass berkata, simposium ini mengumpulkan pengamal SBCC untuk berkongsi amalan terbaik, meneroka peluang dan membangunkan penyelesaian mampan bersama komuniti.

“Kami berharap dapat memperdalam perkongsian kami untuk mencapai hasil yang lebih baik untuk setiap kanak-kanak di rantau ini.

“Penyelesaian kepada banyak masalah yang dihadapi oleh generasi hari ini berpunca daripada norma dan tingkah laku sosial.

“Berpandukan mantra ‘nothing about us, without us’, strategi perubahan sosial dan tingkah laku mempunyai potensi untuk memperkasakan individu untuk membuat pilihan yang melindungi hak mereka, membangunkan komuniti dan menggalakkan daya tahan,“ katanya.

Majlis perasmian program yang bertemakan “SBCC di Asia Tenggara dan Pasifik Selatan: Membuka Potensinya untuk Pembangunan dan Daya Tahan Komuniti” ini disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Robert berkata, simposium yang berlangsung selama dua hari ini akan menampilkan 17 program yang merangkumi ucaptama, sesi pleno, pembentangan lisan, zon pengalaman, forum, sandbox, sesi meja bulat selari dan majlis penutup.

Selain itu, simposium ini turut menampilkan 35 orang penceramah dari tujuh negara iaitu Malaysia, Vietnam, Laos, Thailand, Singapura, Indonesia dan New Zealand.

“Antara penceramah yang terkenal adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan personaliti media, Kamarul Bahrin Haron.

“Ketiga-tiga penceramah tersebut merupakan ahli panel untuk sesi plenari bertajuk “Kepelbagaian Suara, Perkongsian Wawasan: Strategi Kolaboratif SBCC”, yang dijadualkan pada hari pertama simposium,“ jelasnya.

Menurut Robert, Simposium Serantau SBCC Asia Pasifik 2023 mempunyai matlamat untuk membuka peluang pelaburan SBCC di rantau ini, dan mengukuhkan rangkaian SBCC bersama pelbagai pihak berkepentingan, rakan kongsi strategik dan pemain utama di rantau ini bagi menghasilkan pembangunan mampan.

Sementara itu, Pengarah Program UPM-UNICEF C4D, Dr Tham Jen Sern berkata, biarpun penglibatan tiga universiti awam dalam inisiatif SBCC ini mempunyai keistimewaan tersendiri dengan menampilkan kepelbagaian objektif, namun ketiga-tiga institusi ini mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan Malaysia.

“Kami bersama-sama berharap program SBCC dapat dapat memberi sinar, peluang dan harapan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

JENDELA : Capaian internet catat peningkatan bagi kawasan berpenduduk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular