HomeUtamaTujuh kumpulan sindiket pecah rumah, peti besi tumpas

Tujuh kumpulan sindiket pecah rumah, peti besi tumpas

Read Time:2 Minute, 28 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah telah berjaya menumpaskan tujuh kumpulan bersindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan peti besi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ini adalah hasil daripada PDRM Sabah melalui Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (JSJ IPK) Sabah melancarkan OP Black Shadow bermula Awal Jun tahun ini bagi memfokuskan kepada tindakan komprehensif dan bersepadu terhadap penjenayah bagi kes-kes Pecah Rumah dan Peti Besi yang berlaku.

Katanya, dalam operasi itu seramai 64 orang suspek telah ditangkap yang terdiri daripada 51 orang warga tempatan dan 13 lagi warga asing termasuk tiga orang wanita.

“Kesemua suspek merupakan penagih dadah berumur lingkungan 22 hingga 54 tahun.

“Tangkapan yang dibuat dari Julai hingga Oktober 2023 ini turut melibatkan individu yang bertindak sebagai pembeli barang-barang hasil kegiatan jenayah tersebut.

“Kumpulan-kumpulan tersebut di kenali sebagai “Kumpulan Boy Lembaga”, “Kumpulan Amekgay”, “Kumpulan Kanchil”, “Kumpulan Sultan”, “Kumpulan Along”, “Kumpulan Tumpong” dan “Kumpulan Boy Penampang”,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jauteh berkata, jenayah Pecah Rumah dan Peti Besi yang berlaku itu melibatkan beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Sandakan, Ranau dan beberapa daerah lain.

“Modus Operandi yang dijalankan oleh kumpulan-kumpulan ini ialah dengan mensasarkan rumah-rumah mewah yang kosong di kawasan Taman Perumahan yang dipercayai mempunyai peti besi.

“Kumpulan ini juga menggunakan motokar yang disewa atau motokar curi dengan memalsukan nombor pendaftaran kereta untuk melakukan aktiviti pecah rumah.

“Mereka memecah masuk melalui pintu utama ataupun pintu di bahagian dapur dengan cara umpil mengunakan kuku kambing atau besi telimbok,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, PDRM Sabah komited dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti di negeri ini terus berada pada tahap yang terbaik.

“Pelbagai usaha telah diambil dan dilaksanakan oleh PDRM Sabah termasuk melalui tindakan pencegahan dan juga operasi-operasi terancang di peringkat Kontinjen dan daerah,” katanya.

Menurut Jauteh, perangkaan yang direkodkan bagi jenayah Pecah Rumah di negeri ini, sebanyak 1028 Kes direkodkan bagi tempoh Jan – Sept 2023 berbanding 993 Kes pada tahun 2022. Peningkatan sebanyak 35 kes bersamaan 3.52%.

“Sebanyak 83 Kes Pecah Rumah dan Peti Besi telah berjaya diselesaikan yang melibatlan kerugian mencecah hampir RM 1,184, 674.85 Juta.

“Pihak Polis turut berjaya merampas semula beberapa barang berharga dan peribadi milik mangsa yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan yang terlibat disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat.

“Siasatan di bawah Seksyen 6(1) ( c) Akta Imigresen dan juga Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 juga diambil terhadap tangkapan yang tidak memiliki dokumen yang sah dan juga kesalahan dadah,” katanya.

Jauteh turut memberi peringatan kepada masyarakat agar sentiasa peka dengan kejadian-kejadian seumpama ini di kejiranan masing-masing, pemasangan Kamera Litar dan langkah-langkah keselamatan yang meminimakan risiko kejadian pecah rumah dan peti besi berlaku.

“Maklumat dan perkongsian dari orang awam kepada pihak Polis juga amat dialu-alukan bagi membantu PDRM untuk mengekang kejadian jenayah ini terus berleluasa,” tambah beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

SSMJ kerjasama dengan agensi Kerajaan pastikan miskin tegar di Sabah dinoktahkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular