HomeUtamaSekolah, badan keagamaan bukan Islam Zon Pedalaman Bawah terima bantuan kewangan

Sekolah, badan keagamaan bukan Islam Zon Pedalaman Bawah terima bantuan kewangan

Read Time:1 Minute, 44 Second

Beaufort : Sebanyak RM5.62 juta disalurkan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pedalaman Bawah menerusi pemberian bantuan kewangan Kerajaan Negeri Sabah.

Bantuan yang disalurkan kepada 79 penerima melibatkan 137 kelulusan itu disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kung Ming di sini pagi tadi.

Arifin ketika berucap berkata, Kerajaan Sabah sentiasa prihatin selain turut menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyatnya tanpa mengira kaum serta agama.

“Dalam belanjawan tahun 2023, Kerajaan Sabah telah menyediakan peruntukan sebanyak RM54.05 juta dengan agihan RM23 juta kepada sekolah dan RM31.05 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.

“Dengan peruntukan itu, sebanyak 1,810 kelulusan telah diberikan iaitu 346 untuk sekolah, manakala badan-badan keagamaan adalah sebanyak 1,464 kelulusan.  Untuk sesi pagi ini saya difahamkan seramai 79 penerima akan menerima bantuan kewangan ini.

“Jumlah yang disalurkan hari ini adalah sebanyak RM3.49 juta bagi 51 buah sekolah; RM1.24 juta untuk 59 buah gereja dan RM879,000 untuk 27 buah tokong,” katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasneh.

Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, pihaknya berharap menerusi sumbangan dan bantuan kewangan itu akan memberi keselesaan serta manfaat dalam memupuk semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat di Sabah.

“Saya menyifatkan bantuan kewangan ini sebagai antara lain usaha Kerajaan Negeri, juga sebagai pelengkap untuk meringankan beban pihak sekolah dan badan-badan keagamaan dalam usaha memperbaiki dan membangun sekolah serta rumah-rumah ibadat yang berkenaan agar selamat dan selesa digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, permohonan bantuan kewangan bagi tahun 2024 akan mula dibuka pada 2 Januari hingga Mac 2024.

“Insyaallah, sekiranya kedudukan kewangan negeri bertambah baik, kerajaan negeri akan meningkatkan amaun bantuan ini. 

“Sebagai tambahan, saya memohon jasa baik baik sektor swasta, dewan perniagaan atau persatuan perdagangan untuk turut serta menyahut seruan kerajaan negeri untuk sama-sama mendukung institusi sekolah dan badan-badan keagamaan di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA / PEJABAT MENTERI KSTI

RELATED ARTICLES
Utama

Petani cedera parah tertembak diri sendiri dengan senapang ‘bakakuk’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular