HomeUtamaPenjawat awam wajar proaktif, pantas pelajari ilmu dan kemahiran digital - Mohd...

Penjawat awam wajar proaktif, pantas pelajari ilmu dan kemahiran digital – Mohd Arifin

Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Semua penjawat awam wajar proaktif dan pantas dalam mempelajari ilmu dan kemahiran digital, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Katanya, perkata itu adalah penting kerana cabaran dan risiko kecerdasan buatan (AI) terhadap keselamatan siber telah meningkat mendadak.

Menurutnya, pada 1 November lalu, 28 buah negara, Amerika Syarikat, China, India, United Kingdom, Jepun, dan Kesatuan Eropah telah menandatangani Deklarasi Bletchley, pengisytiharan antarabangsa pertama berkenaan Al, di mana mereka menyatakan persetujuan pendirian bahawa Al berpotensi memberikan risiko malapetaka terhadap manusia sejagat.

“Di sebaliknya, kemampuan yang sama boleh disalah guna untuk mempengaruhi pengguna, menyebarkan maklumat merancang dan mencipta kod sumber hasad, melancarkan serangan siber, atau melakukan aktiviti lain yang berbahaya dalam konteks keselamatan siber.

“Malah, telah wujud generative Al lain yang hampir serupa dengan ChatGPT, namun dicipta oleh penjenayah siber seperti FraudGPT dan WormGPT, yang didakwa boleh digunakan untuk membina perisian hasad, mengenalpasti kelemahan sistem aplikasi, menentukan sasaran dan menulis emel palsu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan BIMP-EAGA Cyber Security Summit 2023 di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai persidangan itu, Mohd Arifin berkata, berdasarkan latar belakang inilah, persidangan ini telah dianjurkan dengan tema yang dipilih “Al in Cyber Security: Harnessing the Power, Navigating the Risks”.

“Dengan tema ini, ia menggesa kita semua agar mempersiapkan diri, organisasi, dan sekeliling kita, dalam menghadapi isu-isu yang amat mencabar ini.

“Matlamat persidangan ini diadakan adalah untuk menyumbang kepada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam agar lebih berkualiti dan selamat, dan mengutamakan keperluan pengguna terutamanya kepada rakyat jelata.

Selain daripada itu, penganjuran persidangan ini juga adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan SabahNet ke arah memberikan jaminan kepada para pemegang taruh, iaitu semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah, bahawa keselamatan siber adalah agenda yang amat dititik beratkan,” katanya.

Persidangan dua hari itu bermula 7 hingga 8 November 2023 disertai sekitar 200 orang, yang terdiri daripada para Pemimpin Digital Kerajaan Negeri, iaitu Ketua-Ketua Pegawai Digital, Pegawai-Pegawai Keselamatan ICT, dan pegawai-pegawai kanan dalam bidang ICT di Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah.

Selain daripada itu, barisan peserta juga terdiri daripada para jemputan dari rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan orang awam.

Dalam pada itu, Mohd Arifin turut mengingatkan supaya sentiasa mengemaskini senarai Pegawai Keselamatan ICT, atau ICTSO, di organisasi masing-masing, dan memaklumkan kepada pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan JPKN.

“Perkara ini penting seperti mana yang diperlukan oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara kerana ia akan memudahkan komunikasi organisasi dengan pihak NACSA mengenai isu-isu terkini keselamatan siber.

“Penjawat awam perlu terus memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaan sistem penyampaian kerajaan digital yang menyeluruh dan selamat,” ujarnya.

Turut hadir Setiausaha Tetap KSTI, Datuk Hanafiah Mohammad Kassim dan Pengarah JPKNS merangkap Ketua Pegawai Keselamatan ICT Negeri Sabah, Ernywati Dewi Abas.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular