HomePolitikKetua Penerangan Gagasan Rakyat alu-alukan kehadiran perwakilan & pemerhati ke Persidangan Agung

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat alu-alukan kehadiran perwakilan & pemerhati ke Persidangan Agung

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengalu-alukan kehadiran perwakilan dan pemerhati dari seluruh bahagian Sabah dan Labuan ke Persidangan Agung Tahunan (PAT) pada 13 November 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Persidangan Agung julung kali selepas Parti Gagasan Rakyat Sabah ini dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Presiden Parti yang akan dihadiri 3000 perwakilan dan pemerhati daripada 74 bahagian seluruh Sabah dan Labuan.

“Saya selaku Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pusat ingin mengucapkan selamat datang dan selamat bersidang kepada semua perwakilan dan pemerhati di Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat ini,” kata Nizam dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Persidangan Agung ini akan bermula dengan persidangan sayap-sayap parti iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis pada jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari yang dirasmikan oleh Datuk Seri Masidi Manjun Timbalan Presiden dan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat induk akan bermula jam 2.00 petang sehingga jam 6.00 petang.

“Manakala ucapan dasar sulung Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Parti pastinya dinantikan dengan penuh semangat oleh ahli ahli parti,” katanya.

Nizam berkata, amanat dan visi perjuangan yang akan diungkapkan oleh YAB Presiden bakal menjadi azimat dan pedoman dalam mengharungi cabaran di gelanggang politik tanah air khasnya di Sabah.

“Menerusi PAT ini akan dirumuskan hala tuju dan harapan Gagasan Rakyat sebagai parti yang mewakili suara rakyat Sabah, kini dan masa hadapan.

“Respon dan sambutan rakyat kepada Gagasan Rakyat amat baik dan ia berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan. Sifatnya yang sederhana tetapi konsisten, bercirikan berbilang kaum tanpa dipengaruhi oleh sentimen kaum dan agama menjadikan Gagasan Rakyat diterima baik di seluruh Sabah.

“Perjuangan ‘Sabah First’ (Sabah diutamakan) sebagai salah satu landasan perjuangan parti adalah aspirasi rakyat Sabah demi kemakmuran negara Malaysia yang lebih adil,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa sambutan dan penerimaan misi Gagasan Rakyat, “Rumah Kita, Kita Jaga” akan terus disemarakkan dan diperkukuhkan sebagai asas perjuangan, kerana ianya sangat menyentuh hati rakyat.

Tegas beliau, Gagasan Rakyat akan terus memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama anggota parti parti komponen GRS untuk terus menjadi pilihan rakyat Sabah pada pilihan raya negeri akan datang.

“Ada lah diharapkan rumusan PAT ini, akan menyuntik semangat di semua peringkat sebagai upaya memperkukuh parti dan menjadikan Gagasan Rakyat sebagai Suara Rakyat Sabah.

“Pencapaian dan kejayaan kerajaan perpaduan GRS PH plus yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, menjadi penanda aras Gagasan Rakyat mendapat sokongan rakyat Sabah,” tegasnya.

Tambah beliau, kehadiran Gagasan Rakyat bersama GRS adalah jawapan jitu pada kehendak rakyat Sabah yang mahukan sebuah parti tempatan yang mewakili mereka dalam persada politik tanah air.

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular