Kudat : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan jenis pukat tunda kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah tiga batu nautika, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot terbabit berjaya dikesan kira-kira jam 1 pagi di kedudukan 1.96 batu nautika timur muara Marina, Kudat ketika dalam operasi yang dijalankan pihaknya.
“Semasa dikesan, anggota Zon Maritim Kudat mendapati bot berkenaan sedang menarik pukat dengan jarak kurang tiga batu nautika daripada daratan berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati, tiga individu termasuk tekong yang mengendalikan bot berkenaan merupakan warga Filipina berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun berada di dalam bot terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Maurice berkara, pemeriksaan lanjut juga mendapati, kesemua mereka membawa dokumen pengenalan diri yang meragukan serta tidak memiliki lesen Perikanan.
Katanya, suspek bersama bot dan barang rampasan kemudiannya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen Perikanan serta menarik pukat di bawah tiga batu nautika dari daratan dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya.
Beliau bekata, Maritim Malaysia memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim untuk terus menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA