HomeUtamaSabah bakal jadi tuan rumah sambutan HPPK peringkat Kebangsaan

Sabah bakal jadi tuan rumah sambutan HPPK peringkat Kebangsaan

Read Time:2 Minute, 13 Second

Penampang :  Sabah bakal menjadi tuan rumah sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan bulan julung kalinya bulan depan.

Sambutan yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 Disember depan dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Buhavan Square, Donggongon, di sini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sepanjang tempoh itu, pelbagai acara termasuk pameran agensi-agensi kerajaan berkaitan keusahawan dan juga agensi-agensi di bawah Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut diadakan.

“Selain itu kita juga akan mengadakan jualan daripada usahawan-usahawan, penjaja dan peniaga kecil-bukan sahaja dari Sabah tetapi Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pemilihan Donggongon sebagai lokasi pelaksanaan kerana mahu memberikan penghargaan dan meraih para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di mana mereka berniaga.

“Pekan Donggongon mempunyai beberapa tamu iaitu Tamu Sangadau, Tamu Mingguan dan Pasar Harian. Oleh itu wajarlah sambutan HPPK diadakan di tempat mereka berniaga,” katanya.

Katanya lagi, penganjuran HPPK peringkat kebangsaan sebelum ini dianjurkan bertemakan ‘persidangan’ tetapi tahun ini dianjurkan dengan tema ‘karnival’ jualan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan.

“Kita juga mengadakan Showcase 1 Daerah 1 Industri (SDSI) iaitu salah satu program KUSKOP serentak dengan sambutan HPPK selama tiga hari di Donggongon,” katanya.

Mengenai jumlah penjaja dan peniaga kecil-kecilan di seluruh negara, Ewon berkata, dianggarkan satu juta peniaga yang dikategorikan sebagai penjaja iaitu yang berniaga di tamu-tamu, di luar bangunan sekolah dan di tepi-tepi jalan.

“Sebab itu, kementerian telah membangunkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal kerana kebanyakan usahawan ini tidak mempunyai lesen.

“Melalui pelan ini kita menggalakan mereka berdafar dan mendapatkan lesen perniagaan agar mempunyai akses yang lebih baik kepada kemudahan pembiayaan pinjaman  keusahawanan yang disediakan agensi-agensi kementerian,” katanya.

Ewon berharap dengan penganjuran HPPK di kawasan tamu akan meningkatkan kesedaran kepada golongan itu untuk beralih daripada usahawan informal kepada usahwan formal.

“Dengan adanya data itu, memudahkan kita mengetahui jumlah sebenar usahawan, peniaga dan penjaja kecil-kecilan di seluruh negara seterusnya membolehkan kementerian membangunkan dasar, program dan belanjawan yang lebih baik untuk manfaat golongan itu,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi melaksanakan Projek Tamu Desa.

“Saya telah mengemukakan permohonan kementerian supaya disediakan bajet membina kemudahan infrastruktur, gerai-gerai keusahwanan bagi penjaja dan peniaga kecil di luar bandar. Syukur Perdana Menteri telah memperuntukkan sejumlah peruntukan itu untuk kita melaksanakan Projek Tamu Desa desa di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.

“Ini satu program baharu di bawah kementerian saya selepas saya diberi mandat menerajui kementerian ini,” katanya dan menambah, beliau akan mengunjungi kawasan tamu di seluruh Sabah yang memerlukan bangunan infra seperti gerai yang akan dilaksanakan tahun depan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan melalui Hala Tuju SMJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular