HomeUtamaBelanjawan 2024 : Bahagian Audit Kementerian Kewangan diperkasa

Belanjawan 2024 : Bahagian Audit Kementerian Kewangan diperkasa

Read Time:1 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu : Fungsi semak imbang telah ditambah dengan memperkasakan fungsi Bahagian Audit Dalam Kementerian Kewangan kepada Jabatan Audit Dalam yang ditempatkan di bawah Jabatan Ketua Menteri bermula tahun depan.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia adalah dengan mengutamakan dasar telus dan keterbukaan dalam pengurusan projek sosial ekonomi dan pembangunan negeri.

“Jabatan ini akan memastikan Kementerian, Jabatan dan Agensi Awam Negeri mengoptimumkan keberhasilan peruntukan yang disediakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri juga komited bagi memantap dan membudayakan integriti dalam kalangan anggota Perkhidmatan Awam Negeri secara menyeluruh.

Katanya, peruntukan diberikan kepada Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS) di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk  menyelaras program pembudayaan integriti dan anti rasuah demi kecemerlangan sistem pentadbiran negeri.

“Peruntukan juga disediakan kepada semua kementerian dan jabatan di bawah perbelanjaan mengurus bagi memastikan semua program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM25.06 juta untuk menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan, kepakaran dan kemahiran dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Masidi menambah, pada tahun ini, kerajaan negeri mewujudkan sebanyak 799 jawatan baharu untuk mengisi keperluan tenaga kerja bagi mengimbangi bebanan kerja yang semakin mencabar dan kompleks dalam usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam negeri. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular