HomeUtamaBelanjawan 2024 : Sabah bentang belanjawan RM5.701 bilion

Belanjawan 2024 : Sabah bentang belanjawan RM5.701 bilion

Read Time:2 Minute, 5 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah hari ini membentangkan belanjawan lebihan berjumlah RM5.701 bilion untuk tahun 2024 berbanding RM5.138 bilion peruntukan yang diperuntukan untuk tahun ini.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, belanjawan bertemakan `Sabah Teguh Rakyat Terbela’ Sabah diunjur mengutip hasil berjumlah RM5.737 bilion pada tahun depan.

Katanya, belanjawan yang menggariskan lima strategi perbelanjaan bagi memastikan pembangunan secara mapan itu akan diunjur mencatat lebihan hasil berjumlah RM35.87 juta.

“Belanjawan ini dirangka khusus demi membela kesejahteraan hidup rakyat melalui pelaksanaan program pembangunan yang berterusan. Saya ingin menekankan di sini bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyediakan Belanjawan yang holistik dan inklusif.

“Bagi merealisasikan matlamat tema Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri mencadangkan satu Anggaran Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM5.701 bilion dengan Anggaran Hasil Negeri sebanyak RM5.737 bilion.

“Ini bermakna, Belanjawan 2024 merupakan satu Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM35.87 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Masidi berkata, sebahagian besar belanjawan Sabah pada tahun depan diagihkan kepada Kementerian Kewangan negeri iaitu sebanyak RM2.48 bilion, diikuti Kementerian Kerja Raya (RM1.03 bilion) dan Jabatan Ketua Menteri (RM712.64 juta).

Selebihnya diagihkan kepada Kementerian Pertanianm Perikanan dan Industri Makanan sebanyak RM363.91 juta; Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (RM82.67 juta); Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM184.71 juta); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (RM180.13 juta) dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (RM148.82 juta).

Turut menerima peruntukan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar sebanyak RM120.87 juta; Kementerian Belia dan Sukan Sabah (RM88.67 juta) dan Kementerian Pembangunan Perindustriaan dan Keusahawanan (RM26.11 juta)

Selain itu, turut diperuntukkan ialah Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM238.24 juta dan Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian-Kementerian sebanyak RM43.33 juta.

Sementara itu, Masidi berkata, ekonomi Sabah semakin memulih dengan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan iaitu pada kadar 3.7 peratus pada tahun 2022 berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, jumlah KDNK Sabah juga menunjukkan sedikit peningkatan iaitu RM79 bilion pada tahun 2021 kepada RM81.9 bilion pada tahun 2022, manakala KDNK per kapita Sabah pula meningkat kepada RM35,766 pada tahun 2022 berbanding RM30,022 pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan positif ini antaranya didorong oleh pemulihan semula sektor-sektor ekonomi utama di negeri Sabah.

“Dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023, negeri Sabah telah mencatatkan imbangan perdagangan sebanyak RM13 bilion berbanding RM24 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu penguncupan sebanyak 45.8 peratus,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular