HomeIsu tempatanKelab PEMADAM UMS ke Seoul, pelajari cara perangi penyalahgunaan dadah

Kelab PEMADAM UMS ke Seoul, pelajari cara perangi penyalahgunaan dadah

Read Time:1 Minute, 36 Second

Kota Kinabalu : Dalam usaha mempromosikan kesedaran dan pemahaman mengenai isu-isu yang berkaitan penyalahgunaan dadah, Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program PEMADAM Outreach in Autumn (PETRA’23) di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini. 

Program tersebut merangkumi pelbagai pengisian, termasuk lawatan ke institusi-institusi penting seperti Malaysia Tourism di Seoul, Universiti Hanyang, Universiti Yonsei, Kedutaan Malaysia di Seoul, dan aktiviti kolaboratif bersama Persatuan Pelajar Malaysia di Korea (PPMK). 

Pengarah Program, Hasdilah Diwan berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk mempelajari perbandingan budaya dan memberi inspirasi kepada peserta dalam menyelami perbezaan antara Malaysia dan Korea Selatan bagi memahami faktor-faktor yang mempengaruhi kadar penyalahgunaan dadah. 

Katanya, penganjuran program itu juga sebagai penanda aras untuk mengetahui tahap kepimpinan dan penglibatan para pelajar korea dalam kelab dan organisasi masing-masing.

“Lawatan kami ke Universiti Hanyang dan Universiti Yonsei telah menggalakkan dialog lintas budaya yang kaya dengan pertukaran idea untuk memperbaiki dan meningkatkan kewujudan PEMADAM UMS. 

“Selain itu, turut diadakan aktiviti interaktif bersama PPMK dalam mengatasi isu penting penyalahgunaan dadah. Program ini juga merangkumi kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, di mana delegasi telah terlibat dalam perbincangan mengenai hasil program-program yang telah dijalankan sebelum ini dan isu penyalahgunaan dadah di Korea Selatan.

“Dengan mempelajari kejayaan Korea Selatan dan mengaplikasikannya di Malaysia, langkah yang signifikan dapat diambil dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam komuniti,” katanya.

Hasdilah berkata, PETRA’23 tidak hanya menyumbang kepada usaha dalam memerangi penyalahgunaan dadah tetapi juga dalam membangunkan komuniti pelajar yang lebih aktif dan bertanggungjawab di institusi pengajian tinggi.

“Delegasi Kelab PEMADAM UMS telah memperoleh pengalaman berharga yang akan mengukuhkan objektif penubuhan PEMADAM UMS dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah di Malaysia. 

“Menjelajahi bagaimana pendidikan, budaya, dan pemikiran inovatif mempengaruhi kadar penyalahgunaan dadah adalah penting untuk mencari penyelesaian yang berkesan. Selain itu, pertukaran pengetahuan dan pengalaman amat penting sebagai pemacu perubahan positif dan pendekatan inovatif dalam komuniti,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular