HomeEkonomiIndustri Benih Padi Perlu Penyelesaian Segera

Industri Benih Padi Perlu Penyelesaian Segera

Read Time:5 Minute, 27 Second

Oleh: Wan Azrain Adnan

1.        Baru-baru ini, ramai petani padi di Kedah telah mengadu kesukaran untuk mendapatkan bekalan benih padi sah dan pada harga yang berpatutan untuk memulakan penanaman padi untuk musim terkini. Oleh kerana itu, ada petani yang terpaksa membeli benih padi dari ‘pasaran gelap’, pada harga yang lebih tinggi, sehingga mencecah RM 70 sekampit 20 kg. Ini jauh lebih tinggi dari harga maksimum RM 35 sekampit 20 kg seperti yang di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia ketika itu.

2.        Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah menyatakan bahawa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memaklumkan bahawa kilang yang membekalkan benih padi memberi alasan yang benih padi belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Pertanian.

3.        Tambahan lagi, Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyatakan bahawa isu kelewatan bekalan benih padi yang telah berlaku sejak sekian lama adalah di sebabkan oleh manipulasi pihak pengeluar Benih Padi Sah (BPS) yang menunggu pembayaran subsidi daripada Kerajaan Malaysia. Pengeluar benih padi sah akan menahan bekalan benih padi sah yang sepatutnya di agih kepada pesawah mengikut jadual di tetapkan, sehinggalah mereka menerima bayaran subsidi daripada Kerajaan Malaysia.

4.        Justeru itu, Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencadangkan agar Kerajaan Malaysia menyalurkan subsidi Benih Padi Sah (BPS) terus kepada petani. Dengan itu, pengeluar benih padi sah akan bersaing untuk menghasilkan benih padi yang berkualiti, menjual pada harga yang kompetitif, serta mengedarkan bekalan mengikut jadual penanaman padi.

5.        Pada 20 Oktober 2023, untuk segera menangani isu bekalan dan harga benih padi sah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengumumkan penyelarasan harga kawalan maksimum baru bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS), berkuat-kuasa serta merta.

Penyelarasan tersebut merangkumi:

  • harga maksimum di pintu gudang syarikat pengeluar benih padi sah: daripada RM 31 kepada RM 40 untuk sekampit 20 kg
  • harga maksimum di peringkat peruncit: daripada RM 35 kepada RM 45 untuk sekampit 20 kg

6.        Pada masa yang sama, sejak awal November 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah bertindak tegas dengan membatalkan sebanyak 22 lesen penjualan benih padi sah milik peruncit.Tindakan tersebut di ambil sebagai usaha untuk memastikan semua peruncit menjual benih padi sah pada harga yang telah di tetapkan, serta tidak menjalankan aktiviti menyorok bekalan benih padi sah.

7.        Menurut Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), penyelarasan harga maksimum tersebut dapat juga membantu para petani untuk mengatasi isu bekalan dan harga benih padi ketika ini. Namun begitu, penyelarasan harga maksimum tersebut membabitkan kenaikan kos sebanyak RM 0.50 setiap kg (30% setiap kg). Ini bermakna, sekiranya petani memerlukan 120 kg benih padi untuk setiap hektar, maka kos penanaman padi akan meningkat sebanyak RM 60 setiap hektar.

8.        Peningkatan kos benih padi ini sudah pasti akan menambah bebanan kos penanaman padi yang terus meningkat, termasuklah peningkatan kos input pertanian yang lain seperti: upah jentera, racun, baja. Justeru itu, para petani mengharapkan penyelesaian jangka panjang yang dapat mengurangkan bebanan kos penanaman padi, dan seterusnya memberikan pendapatan yang setimpal dan lumayan.

9.        Pada minggu lepas, Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022) telah melaporkan mengenai kepincangan di dalam pengeluaran serta pengurusan benih padi sah. Kepincangan ini telah menyebabkan bekalan benih padi tidak mencukupi di pasaran untuk kegunaan petani dan juga telah menyebabkan harga benih padi di jual pada yang harga yang lebih tinggi dari yang di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia. Akhirnya, petani terpaksa menanggung kos penanaman padi yang lebih tinggi.

10.      Menurut LKAN 2022, sehingga tahun 2022, sejumlah 63 varieti padi telah di hasilkan oleh 4 organisasi di Malaysia:

  • Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI): 53 varieti (84.1%)
  • Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): 10 varieti (15.9%)

11.      Di Malaysia, pengeluaran benih padi sah melibatkan 4 peringkat: benih baka, benih asas, benih daftar dan benih sah.

  • Benih padi asas akan di hasilkan oleh MARDI dari benih baka, iaitu stok asal varieti padi, untuk memastikan ketulenan genetik mengikut piawaian yang di tetapkan
  • Seterusnya, benih padi asas tersebut akan di bekalkan oleh MARDI sebagai benih padi daftar kepada syarikat pengeluar benih padi sah
  • Syarikat pengeluar benih padi sah pula akan menggunakan benih padi daftar tersebut untuk menghasilkan dan membekalkan benih padi sah kepada petani, dengan menepati prosedur Skim Pengesahan Benih Padi dan Standard Jabatan Pertanian Malaysia (SJPM – 2009)

12.      LKAN 2022 mendapati bahawa MARDI tidak dapat memenuhi tempahan bekalan benih padi asas yang di buat oleh 12 syarikat pengeluar benih padi sah. Untuk tempoh tahun 2019 – 2022, MARDI hanya mampu menghasilkan sejumlah 258.14 MT (50.9%) benih padi asas,berbanding jumlah tempahan 507.52 MT oleh 12 syarikat pengeluar benih padi sah.

13.      Kegagalan ini berpunca daripada kapasiti ladang benih MARDI yang terhad. Ini telah menyebabkan ada petani terpaksa menggunakan benih padi yang tidak di iktiraf oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). Malah semakan audit yang di buat oleh LKAN 2022 telah mendapati penggunaan benih padi yang tidak di iktiraf oleh DOA di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan, iaitu salah satu jelapang padi negara. Memandangkan jurang tempahan dan penghasilan benih padi asas adalah besar, isu penggunaan benih padi tidak di iktiraf ini mungkin lebih meluas dan serius di seluruh negara.

14.      Menurut LKAN 2022, MARDI sedang memohon dana sejumlah RM 3 juta untuk meningkatkan jumlah pengeluaran benih padi asas dengan memperluaskan ladang penanaman benih. Namun begitu, tiada kepastian samada dana tersebut mampu meningkatkan jumlah pengeluaran benih asas oleh MARDI untuk memenuhi jumlah tempahan oleh 12 syarikat pengeluar benih padi sah.

15.      Semasa sidang Parlimen baru-baru ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berusaha untuk mewujudkan stok penimbal bagi benih padi sah,yang akan berfungsiseperti stok penimbal beras. Stok penimbal benih padi sah berkenaan boleh diguna-pakai untuk menghadapi sebarang isu bekalan dan harga benih padi di masa hadapan.

16.      Benih padi yang berkualiti merupakan asas utama untuk penanaman padi. Justeru itu, isu pengurusan serta penghasilan benih padi sah wajib di teliti secara menyeluruh untuk mencapai penyelesaian jangka masa panjang demi kemampanan industri padi negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Masalah generasi muda perlu pendekatan menyeluruh, merentasi seluruh agensi Kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya