Kempen DEC-Cover Sabah 2023 pamer kepelbagaian budaya serantau Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Kempen DEC-Cover Sabah 2023 mempamerkan khazanah kepelbagaian budaya serantau, bertujuan menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama.

Kempen ini dianjurkan bersama Rock Maestro Sdn Bhd dan Awesome Borneo Holidays Sdn Bhd Menteri Pelancongan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew berkata, kempen ini merupakan satu inisiatif hebat bertujuan untuk memacu sektor pelancongan negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

“Program ini menggariskan komitmen semua pihak yang terlibat untuk meraikan dan memperkasakan kekayaan warisan tempatan, kepelbagaian budaya dan keunikan etnik yang melambangkan entiti mutlak negeri Sabah.

“DEC-Cover Sabah akan dijadikan sebagai acara tahunan, menyajikan tarikan hebat pelancongan dan meraikan kekayaan budaya di negeri Sabah,” katanya pada sidang media semasa merasmikan kempen ini di sini, hari ini.

Menurut Christina, sepanjang bulan Disember 2023, Kempen DEC-Cover Sabah menjanjikan pelbagai aktiviti hebat yang bakal mempesonakan pengunjung dan penduduk tempatan.

“Antara yang menjadi tumpuan Sabah Tanah Airku Countdown Mega Run 2023, selaras dengan Hari Kembara Apresiasi Sabah merupakan acara yang melibatkan 28 daerah di negeri Sabah dengan 1000 pelari berkompetensi membawa Bendera Sabah sepanjang larian dengan perjalanan berjumlah 200 jam menuju ke Kota Kinabalu bermula pada 23 hingga 31 Disember 2023.

“Selain itu, Family Fun Run juga dianjurkan bertujuan untuk menyatukan sebanyak 2000 peserta demi memupuk ikatan erat dan kegembiraan bersama keluarga dan rakan.

“Pelbagai aktiviti lain yang akan membuka tirai pada bulan tersebut termasuklah Miss Merdeka Sabah 2023, Battle of Buskers, Borneo Culture Festival, Tamu-Bah yang mempamerkan jualan peniaga tempatan, Jelajah Sabah Foodie dan juga aktiviti-aktiviti lain yang meraikan kekayaan budaya di negeri Sabah,” jelasnya.

Antara lain, katanya, adalah Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh Amnestry Blood Organization (ABO) pada 31 Disember 2023.

“Inisiatif ini adalah untuk memperkukuhkan rizab bank darah di negeri Sabah menerusi penderma yang berpotensi yang hadir pada malam Sambutan Tahun Baru 2024.

“Selain, kempen ini bertujuan untuk menyemai kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan pendermaan darah melalui usaha berilmiah yang diterapkan sepanjangan kempen DEC-Cover Sabah ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Christina berharap Kempen DEC- Cover Sabah bukan sahaja menjanjikan sambutan yang meriah tetapi juga bertujuan untuk memupuk penglibatan masyarakat dan meningkatkan kesedaran tentang kekayaan budaya di Sabah.

“Kami dengan sukacita menjemput semua lapisan Masyarakat untuk sertai kami di sambutan sebagai tanda era baru landskap pelancongan di negeri Sabah.

“Penghargaan tertinggi juga dirakamkan kepada penaja-penaja dan semua pihak yang terlibat di atas sokongan luar biasa, dedikasi dan sumbangan yang tidak ternilai dalam memainkan peranan bagi kejayaan penganjuran kempen DEC-Cover Sabah ini,” ujarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *