HomeIsu tempatanUMS,SEDIA meterai MoA, rancakkan pembangunan ekonomi negeri

UMS,SEDIA meterai MoA, rancakkan pembangunan ekonomi negeri

Read Time:1 Minute, 19 Second

Kota Kinabalu : Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) bersama Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, melalui kerjasama tersebut UMS akan membekalkan tenaga pakar dan para penyelidik bagi menjalankan penyelidikan berkaitan ekonomi. 

Katanya, UMS mempunyai kebolehan dan kepakaran dalam pelbagai bidang yang dapat membantu SEDIA dan negeri Sabah dalam merancakkan pembangunan ekonomi yang dapat memanfaatkan masyarakat di negeri ini. 

“UMS sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di negeri Sabah sentiasa bersedia membantu kerajaan negeri dalam memberikan saranan, cadangan, analisis yang konkrit dan kritikal bagi membantu para pemegang taruh dan pembuat dasar mendapatkan idea daripada penulisan ahli akademik.

“UMS juga sentiasa menjalankan kajian bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) secara berterusan agar pembangunan itu dapat dirasai oleh semua masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Kasim berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi 2023 (ICE 2023) anjuran FPEP UMS, baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoA disempurnakan oleh Kasim dan Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan sambil disaksikan oleh Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar dan Naib Presiden SEDIA, Ir. Dr. Chong Vun Leong.

Penganjuran ICE 2023 dengan tema ‘Membina Masa Depan yang Mampan: Menavigasi Realiti Persekitaran Ekonomi, Cabaran Sosial dan Tadbir Urus’ disertai oleh hampir 100 peserta daripada agensi kerajaan, industri, ahli akademik institut pendidikan tinggi awam dan swasta di Malaysia. 

Persidangan selama dua hari dengan kerjasama SEDIA, IDS dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) itu turut disertai oleh ahli akademik universiti antarabangsa seperti Indonesia, Filipina, China dan Jepun. 

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS raih penganugerahan sijil pematuhan SAGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular