BESS 100MW bakal dibina di Lahad Datu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

LAHAD DATU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bakal melaksanakan projek pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) dengan kapasiti 100MW pada tahun hadapan di Lahad Datu.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, projek tersebut sekarang dalam peringkat perolehan tender secara terbuka dan akan ditutup pada 20 Disember 2023.

Katanya, kerja-kerja pemasangan dijangka akan dimulakan pada bulan Februari 2024 dan akan disiapkan dalam tempoh 6 hingga 10 bulan.

Pada Sabtu, Mohd Yaakob telah mengadakan lawatan ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Dam Road, Lahad Datu bagi meninjau projek menaiktaraf PMU Dam Road kepada voltan 275kV yang mana Pencawang ini akan menjadi titik suntikan kepada BESS tersebut.

“Projek ini akan dapat meningkatkan kestabilan kapasiti penjanaan di Grid Sabah, disamping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan untuk melaksanakan projek BESS ini dibuat sebagai alternatif selepas pembatalan rancangan penyewaan dua kapal tenaga (Karpowership) di Sabah sebagaimana yang diumumkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini.

Selain BESS, SESB juga akan membuat perolehan tender terbuka untuk pemasangan set generator gas berkapasiti 100MW sebagai langkah interim untuk menangani keperluan tenaga di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *