HomeUtamaSabah sentiasa beri keutamaan kepada pembangunan belia

Sabah sentiasa beri keutamaan kepada pembangunan belia

Read Time:2 Minute, 17 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan belia di Sabah menerusi peruntukan yang lebih tinggi pada tahun depan berbanding pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan memperuntukkan RM16.89 juta menerusi Belanjawan Negeri 2024 berbanding RM16.42 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia seperti aktiviti kesukarelawan dan perpaduan sosial.

“Peruntukan yang lebih tinggi untuk tahun hadapan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan belia Sabah sebagai pemimpin masa depan.

“Pada 2024, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai program termasuk aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan bagi memperkasakan belia selaras dengan Dasar Belia Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Belia Sabah 2023 peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Presiden Majlis Belia Sabah Abqaree Fawwaz Abekan.

Hajiji berkata, Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta pada tahun lalu bagi melaksanakan inisiatif baharu iaitu Skim Kejayaan Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

Katanya, golongan belia adalah aset dan mesti diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri.

“SYABAS merupakan satu inisiatif untuk membantu usahawan belia dalam memulakan dan memulihkan perniagaan mereka daripada kesan COVID-19. Sehingga Oktober tahun ini, 2,655 belia telah menerima RM2,000 setiap seorang dan 238 lagi diberi RM5,000 setiap seorang daripada skim itu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, selain memberi tumpuan kepada sektor utama di bawah rancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk merangsang pertumbuhan dan pemulihan ekonomi, penekanan turut diberikan kepada teras kedua pelan itu iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM44 juta melalui 10 inisiatif untuk membantu belia melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi swasta dan awam.

“Melalui semua inisiatif dan peruntukan yang ada untuk belia, saya berharap kita dapat mencapai sasaran untuk memastikan belia meningkatkan potensi mereka dan dapat bersaing di peringkat global, memperoleh pendidikan yang lebih baik yang membuka peluang yang lebih besar untuk mereka dan menjadi lebih tabah menghadapi cabaran serta lebih kreatif untuk mengukir peluang baharu,” katanya.

Beliau mengingatkan slogan, ‘Belia Sabah Maju Jaya’ akan sentiasa relevan selaras dengan slogan SMJ kerana ia merangkumi semangat dan aspirasi untuk membangunkan Sabah dan mengharumkan nama negeri.

“Ia juga mencerminkan hasrat kita untuk terus maju dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial khususnya dalam kalangan belia,” katanya.

Hajiji berkata Karnival Belia Sabah merupakan salah satu program penting dalam menghargai peranan belia dalam pembangunan negeri, sambil menambah ia adalah platform untuk memupuk semangat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri akan meneliti permohonan bantuan MBS untuk menganjurkan program jerayawara belia bagi tahun 2024, jika ia belum dipertimbangkan untuk peruntukan tahun depan.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular