HomeUtamaPerdana Menteri adakan lawatan kerja ke Sabah, Labuan esok

Perdana Menteri adakan lawatan kerja ke Sabah, Labuan esok

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Sabah dan Labuan esok.

Dalam lawatan itu, Anwar akan memulakan lawatan kerja dengan menyempurnakan majlis pecah tanah projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas.

Pecah tanah projek yang sebelum ini diumum menelan belanja kira-kira RM4 bilion itu akan diadakan di Kampung Kungkular, Kemabong di Tenom bermula jam 9 pagi hingga jam 11 pagi.

Program berkenaan adalah acara pertama yang akan dihadiri Anwar selepas dijadual tiba di Kota Kinabalu pada lewat malam ini untuk lawatan singkat ke negeri ini.

Sejurus selesai program di Tenom, Perdana Menteri dijadual kembali ke ibu negeri untuk menyempurnakan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan di Buhavan Square, Donggongon, Penampang.

Karnival anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menghimpunkan penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara.

Majlis itu dijadual dirasmikan Anwar pada jam 1 tengah hari sebelum beliau menamatkan lawatan kerjanya ke Sabah.

Pada program itu, Anwar dijadual menyampaikan watikah pelantikan Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil serta Anugerah Kecemerlangan Penjaja dan Peniaga Kecil Tahun 2023 sebelum melawat pameran dan ke Jamuan Makan Bersama Rakyat.

Perdana Menteri kemudian dijadual meneruskan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan dan dijangka tiba di pulau bebas cukai itu pada jam 4 petang hari yang sama.

Di Labuan, Anwar dijadual melakukan lawatan turun padang dan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Terbuka Madani (Fasa 1) di Kampung Sungai Bedaun.

Sejurus selesai acara pecah tanah itu, Perdana Menteri kemudian dijadual melakukan lawatan turun padang ke Projek Menaik Taraf Jambatan dan Dewan Komuniti Kampung Patau-Patau.

Program Perdana Menteri di Labuan diakhiri dengan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Perancangan Wilayah Persekutuan Labuan sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada malamnya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular