HomeSukanSabah FC yakin mampu duduki tangga ketiga Liga Super

Sabah FC yakin mampu duduki tangga ketiga Liga Super

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC yakin mampu untuk merampas kedudukan di tempat ketiga carta Liga Super musim ini pada perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas, malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, meskipun prestasi skuad Badak dilihat merosot selepas tewas kepada PSM Makassar dalam aksi akhir Piala AFC bagi Kumpulan H, Khamis lalu, namun ia tidak sama dengan Liga Super.

Katanya, sangat penting untuk pemain Sabah FC belajar daripada kesilapan yang berlaku pada perlawanan itu, lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang sendiri.

“Ini perlawanan yang berbeza di mana kita tahu pasukan Kedah pun akan melakukan perkara sama dan di sini kita harus belajar daripada kesilapan kita,” katanya mengulas situasi Sabah FC untuk berdepan saingan akhir Liga Super, Ahad ini.

Kim Swee mengakui perlawanan akhir Liga Super itu di halaman sendiri itu sangat penting kepada Sabah FC dalam usaha menyamakan kedudukan yang dicapai pasukan berkenaan pada musim lalu.

Katanya, perlawanan itu bakal menjadi penentu sama ada Sabah yang ketika ini berada di kedudukan keempat mampu mengambil alih kedudukan itu daripada seterunya, KDA FC.

“Bermain di tempat sendiri terutama pada perlawanan terakhir Liga Super amat penting di mana ia akan menentukan sama ada kita berjaya mendapatkan tempat ketiga seperti mana kita capai pada musim lalu.

“Saya percaya kita boleh bangkit selepas ini,” katanya.

Sabah pada ketika ini mengumpul 51 mata, hanya ketinggalan dua mata di belakang KDA FC untuk merebut kedudukan di tempat ketiga Liga Super 2023.

Jika skuad kendalian Kim Swee itu memenangi perlawanan akhir Ahad ini,  Sabah bakal menambah tiga mata untuk mengumpul 54 mata, sekali gus memintas KDA FC bagi meletakkan Sang Badak kembali ke kedudukan ketiga seperti musim lalu.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC perlu penyerang baharu, atasi bahagian serangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular