HomeUtamaTiada penduduk Kampung Balung sakit, muntah akibat sisa toksik

Tiada penduduk Kampung Balung sakit, muntah akibat sisa toksik

Read Time:1 Minute, 40 Second

Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan kononnya berlaku kejadian penduduk mengalami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik lombong haram di Bukit Mantri Balung, Tawau.

Pengarah JKNS Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihaknya turut mendapati tidak terdapat sebarang implikasi negatif terhadap kesihatan penduduk Kampung Balung Cocos dan penduduk Tawau secara umumnya.

“JKNS ingin memaklumkan bahawa pihak Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS) mengesahkan sememangnya terdapat aktiviti perlombongan emas di lokasi tersebut yang telah diluluskan untuk beroperasi berdasarkan kepada hasil laporan Environmental Impact Assessment (EIA).

“Penggunaan Sianida untuk mengekstrak emas adalah secara tertutup dan pelupusannya adalah mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan

“JKNS dengan bantuan Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau telah membuat siasatan serta verifikasi berkenaan aduan ini. Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang  dinyatakan berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal tempatan yang menyiarkan kononnya terdapat penduduk mengalami alami sakit dan muntah akibat terhidu sisa toksik lombong haram di Bukit Mantri, Balung di daerah Tawau.

Laporan yang disiarkan itu turut mempersoalkan samada perlombongan tersebut memberi kesan kesihatan terhadap penduduk sekitarnya dan apa implikasi kesihatan dalam isu ini.

Dr Asits berkata, semua fasiliti kesihatan swasta, kerajaan dan hospital tidak melaporkan sebarang kes berkenaan keracunan Sodium cyanide.

Katanya, hasil siasatan dan pemeriksaan kawasan kampung sekitar juga mendapati tiada individu yang mengalami gejala.

“Pencemaran Sianida boleh menyebabkan pencemaran udara dan air. Pencemaran ini boleh memberi kesan kesihatan negatif kepada kepada individu yang terdedah.

“Kesan khusus keracunan Sianida kepada kesihatan adalah gejala seperti kekeliruan, perubahan tingkah laku, mengantuk yang berlebihan, sesak nafas, sakit kepala, pening, muntah, sakit perut dan pengsan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, JKNS turut menasihati semua penduduk yang mempunyai gejala- gejala berkenaan untuk mendapatkan rawatan segera di Klinik-Klinik kesihatan atau Hospital berdekatan.

“JKNS bersama dengan agensi- agensi lain yang berkaitan akan terus memantau situasi kesihatan penduduk kampung yang terlibat dan penduduk Daerah Tawau. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular