HomeUtama"Gula putih bertapis RM2.85, bukan subsidi kerajaan" - Armizan

“Gula putih bertapis RM2.85, bukan subsidi kerajaan” – Armizan

Read Time:2 Minute, 11 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA.KINABALU: Kerajaan hanya mengawal harga gula putih bertapis pada RM2.85 tanpa memberikan sebarang subsidi kepada para pengilang, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

“Setexlah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab, perlu saya kongsikan kepada masyarakat kita, ada pemahaman bahawa RM2.85 itu gula subsidi, gula kerajaan, gula rakyat, sebenarnya gula RM2.85 tersebut tidak melibatkan direct subsidy (subsidi langsung) daripada kerajaan, tiada…

“Itu bukan gula subsidi, tiada subsidi langsung daripada kerajaan untuk membolehkan gula itu dibekalkan pada harga RM2.85, ini kita kena fahamkan rakyat. Jadi isu kerajaan tarik subsidi, catu subsidi itu tidak betul,” tegasnya.

Namun demikian, Armizan berkata, kerajaan sedang meneliti penyelesaian jangka panjang berhubung isu bekalan gula yang dibangkitkan di pasaran tempatan.

“Tidak dinafikan bahawa gangguan bekalan gula putih bertapis pada harga RM2.85 yang berlaku kini adalah disebabkan oleh faktor kenaikan tinggi harga gula mentah di pasaran dunia kini.

“Justeru, di samping menyelesaikan isu-isu berbangkit di sesetengah tempat, penyelesaian jangka panjang diperlukan,” jelasnya.

Menurutnya, sejak tahun 2021, kenaikan harga gula mentah di pasaran global telah melebihi 150 peratus. Dua pengilang utama yang membekalkan gula dengan kawalan harga RM2.85 kini mengalami kerugian sejak tiga tahun lalu kerana kos mereka telah meningkat.

“Oleh itu, kerajaan hanya mengawal harga gula putih bertapis pada RM2.85 tanpa memberikan sebarang subsidi kepada para pengilang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak memangku tugas Menteri KPDN pada Julai 2023, KPDN telah mengambil pendekatan untuk melonggarkan syarat Approved Permit (AP) import dengan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mengimport gula.

“Sejak Julai 2023, sebanyak 43 syarikat telah diberikan permit kelulusan kuota import dengan jumlah 557,080 metrik tan. Tujuannya untuk membolehkan mana-mana pihak mencari sumber bekalan gula mentah pada kadar yang rendah.

“Namun, sehingga 12 Disember 2023, sumber bekalan gula yang berjaya dibawa masuk hanya pada kadar 5 peratus dan hanya untuk kegunaan sendiri. Ini bermaksud tidak ada pihak yang berupaya untuk mencari sumber bekalan gula mentah untuk diproses dan kemudiannya dijual pada harga kawalan RM2.85,” katanya.

Bagaimanapun, Armizan berkata, KPDN masih membuka ruang kelonggaran permit import tersebut secara bersyarat. Sekiranya ada mana-mana pihak boleh membawa masuk dan menjual gula bertapis pada harga RM2.85, sila mohon dan kita akan beri kelulusan segera.

“Kita telah memberi kelonggaran ini sejak bulan Julai lalu. Pada 1 Januari 2024, kita akan membuat penilaian dan perlu bertindak untuk membuat keputusan segera untuk menggelakkan gangguan bekalan yang lebih besar,” ujarnya.

Tambah beliau, solusi jangka panjang akan berpandukan kepada dua keutamaan iaitu faktor harga yang munasabah dan bekalan gula yang stabil di pasaran.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular