HomeUtama18,000 liter air minuman dihantar ke kolej kediaman UMS

18,000 liter air minuman dihantar ke kolej kediaman UMS

Read Time:2 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu : Pejabat Parlimen Sepanggar mengambil inisiatif membantu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menghadapi gangguan bekalan air sejak beberapa minggu lalu dengan menghantar sebanyak 18,000 liter atau 1,000 karton air minuman.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, bekalan yang mula dihantar sejak semalam itu akan diagihkan ke kolej-kolej kediaman di universiti berkenaan dan akan ditambah pada hari ini.

Katanya, inisiatif itu adalah selepas pihaknya dimaklumkan mengenai masalah berkenaan minggu lalu dalam memastikan pelajar yang berada di kampus UMS Kota Kinabalu tidak terputus bekalan air.

“Untuk mengurangkan keresahan pelajar, kita menghantar 18,000 liter air mineral ke kolej kediaman yang memerlukan dan kalau ada keperluan, kita akan hantar lagi selepas ini.

“Bagi air kegunaan biasa, kita bergantung kepada Jabatan Air, sebab UMS ada tangki, jadi kita tidak mahu bertembung, mana yang Jabatan Air boleh buat atau UMS boleh buat itu mereka buat.

“Di pihak kita, penghantaran air minuman ini sebab ada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan. Jadi kita hantar air minuman untuk kegunaan mereka buat sementara waktu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis kesyukuran sempena setahun sebagai Ahli Parlimen Sepanggar, di sini, malam tadi.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu gangguan bekalan air yang dihadapi warga UMS kebelakangan ini, terutama di kolej kediaman pelajar hingga menjejaskan rutin harian mereka.

Beliau mengakui turut menerima surat daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS berhubung isu itu pada minggu lalu meminta penyelesaian masalah berkenaan.

Katanya, pihaknya telah mengarahkan Pejabat Parlimen Sepanggar untuk mengatur perbincangan di antara MPP, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan pengurusan universiti bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu dan langkah penyelesaiannya.

“Saya difahamkan mesyuarat sudah diadakan tadi (semalam) dan saya berharap perbincangan itu akan dapat meredakan keadaan, selain pihak MPP UMS juga dapat memahami apa sebenarnya masalah yang dihadapi JANS terutamanya,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapha berkata usaha untuk mengatasi masalah air di UMS dan seluruh kawasan Parlimen Sepanggar akan terus menjadi tumpuannya selaku Ahli Parlimen kawasan itu pada tahun depan.

Katanya, kawasan Parlimen Sepanggar, termasuk UMS paling terjejas akibat kekurangan bekalan air yang sedang dihadapi di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu berikutan kedudukannya di hujung sistem paip air yang bermula dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, di Tuaran.

“Saya fikir untuk tahun ini kita sudah ada peningkatan agak baik cuma beberapa lagi lokasi terutama di hujung (sistem paip) seperti UMS ada masalah tekanan rendah, jadi kita cuba tingkatkan perkara itu.

“Kita dimaklumkan selepas LRA Telibong Dua disiapkan, perkara ini akan dapat diselesaikan sebab 30 peratus air dari loji itu akan disalurkan ke paip asal di kawasan Sepanggar,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas wartawan penderma organ pertama di Sabah tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya