HomeUtamaPembangunan badan keagamaan bukan Islam turut diberi keutamaan

Pembangunan badan keagamaan bukan Islam turut diberi keutamaan

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM56.75 juta untuk pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian, untuk tahun 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu diharapkan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan kewangan untuk menampung kos operasi harian selain menjalankan program berkaitan serta penambahbaikan institusi dan badan keagamaan masing-masing,

“Peruntukan ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang sentiasa menekankan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek serta membantu rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.

“Peruntukan pada tahun hadapan itu meningkat berbanding RM54.05 juta pada tahun ini,” katanya sempena majlis sambutan Rumah Terbuka Krismas Anglikan di Wisma Anglikan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai kepentingan semua perayaan untuk mengukuhkan lagi semangat kekitaan, memupuk perasaan muhibbah dan harmoni serta perpaduan dalam konteks kepelbagaian budaya serta etnik di negeri ini.

“Sambutan perayaan Krismas ini jmenunjukkan betapa negara ini menghargai setiap peranan dan sumbangan yang diberikan oleh setiap rakyatnya yang dicerminkan melalui eratnya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Sebab itu agenda perpaduan sentiasa dititikberatkan kerana dengan bersatu hati kita dapat membina sebuah negara yang aman damai dan rakyatnya sentiasa mementingkan perpaduan, politiknya tidak huru-hara, serta ekonomi yang baik dan dapat menarik minat pelabur asing.

“Di beberapa negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkenaan isu agama telah membawa peperangan yang berlarutan sekali gus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan. Jadi kita tidak mahu perkara ini berlaku di negara kita,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Gereja Anglikan Sabah yang bukan saja meneruskan tradisi mengadakan Rumah Terbuka Hari Krismas malah turut menjemput rakyat pelbagai bangsa dan agama untuk sama-sama memeriahkan perayaan ini.

“Tidak dapat dinafikan, bahawa Gereja Anglikan Sabah telah banyak menyumbang kepada pembinaan negara (nation building) di negeri Sabah.

“Ramai pemimpin negara dan tokoh cemerlang dalam berbagai bidang telah dilahirkan melalui pendidikan yang berkualiti tinggi oleh pendidik berdedikasi yang berkhidmat di sekolah mubaligh sejak sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Saya berharap kerjasama dengan gereja-gereja di Sabah, termasuk Gereja Anglikan Sabah akan diteruskan bagi mewujudkan sebuah negeri yang maju dan harmoni, demi kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

22 rumah musnah dalam kebakaran di Batu 3 Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya