HomeUtamaTDM harap pembinaan kem di Lahad Datu diselesaikan segera - Panglima

TDM harap pembinaan kem di Lahad Datu diselesaikan segera – Panglima

Read Time:1 Minute, 12 Second

BERNAMA

Kota Kinabalu : Tentera Darat (TDM) berharap projek pembinaan kem di Felda Sahabat, Lahad Datu akan diselesaikan secepat mungkin dalam usaha mengukuhkan tahap keselamatan negara terutamanya di pantai timur Sabah.

Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, projek itu masih dalam peringkat awal dan selain meningkatkan tahap keupayaan serta kesiapsiagaan menangani ancaman semasa, kem itu juga akan menempatkan anggota TDM yang kini terpaksa menyewa di luar kawasan kem.

“Kita berharap (pembinaan kem) diselesaikan dengan secepat mungkin dalam tempoh pelaksanaannya dan ia sebenarnya dapat mengatasi masalah penempatan sementara yang dihadapi Markas 13 Briged sejak penubuhannya.

“Dengan siapnya kem itu nanti akan dapat menempatkan Markas 13 Briged dan unit-unit organik dan penempatan rumah keluarga bagi anggota yang berkhidmat di briged, termasuk pasukan-pasukan di bawah naungan unit berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Terbuka Tentera Darat dan Sambutan Hari Krismas di Dewan Kinabalu, Kem Lok Kawi di sini.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Brig Jen Datuk Al-Hambra Tun Juhar yang juga Komander Regimen 507 Askar Wataniah.

Pada 10 Feb lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan sebuah kem TDM akan dibina di Felda Sahabat dengan kos RM646.15 juta.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain berkata lawatan sulung beliau ke Sabah bertujuan untuk melihat dengan lebih dekat dan berbincang secara mendalam perkara berkaitan tadbir dan logistik serta operasi TDM, antaranya pelaksanaan projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Kem Lok Kawi. – BERNAMA / FOTO TENTERA DARAT MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada ancaman politik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular