HomeUtamaKeperluan rakyat diutamakan, kurangkan isu politik

Keperluan rakyat diutamakan, kurangkan isu politik

Read Time:2 Minute, 5 Second

TUARAN: Pembangunan dan kemajuan diberi keutamaan selepas menerajui kerajaan, dengan pelbagai dasar dan pembangunan dibawa demi manfaat rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata walaupun ada pihak tertentu yang tidak menyukai malah selalu mengkritiknya, tetapi mereka hanya pandai bercakap.

“Saya tidak melayan perkara yang membuang masa untuk dijawab atau bercakap politik saja. Sebaliknya, saya terus fokus menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan demi manfaat rakyat.

“Sebab itu sebenarnya, saya amat menyukai program seperti ini kerana perjumpaan secara santai sebegini membolehkan saya bertemu dengan rakyat khususnya di daerah Tuaran.

“Saya tahu bila dilantik menjadi ketua menteri, tanggungjawab saya semakin besar berbanding sebelum ini. Saya kena berfikir untuk kepentingan satu Sabah. Namun ini bukan halangan untuk saya tidak bertemu rakyat di kawasan,” katanya.

Hajiji dan isteri, Datin Seri Juliah Salag (tiga kiri) diiringi Ketua Kampung Pandamai merangkap Pengerusi Penganjur, Sylvia Belinggi (empat kiri) menyempurnakan upacara memotong kek pada Majlis Perasmian Santuni Rakyat Sempena Sambutan Hari Natal 2023, Gabungan Kampung BBKWDP (Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dungang 2 dan Pandamai) di Dewan Terbuka Sapai Teo, Kampung Dungang, Tuaran pada Sabtu.Foto ihsan JKM Sabah

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Santuni Rakyat sempena Sambutan Hari Natal Gabungan Kampung BBKWDP 2023 (Batangan, Barus, Korompitut, Wokok, Dungang 1, Dungang 2 dan Pandamai) di Dewan Terbuka Sapai Teo, Kampung Dungang, Tuaran di sini pada Sabtu.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag.

Sebab itu katanya, apabila ada masa lapang, beliau paling suka majlis seperti ini dan kesibukan bukan alasan untuk tidak bertemu dengan rakyat khususnya di Tuaran dan kawasannya di Sulaman.

“Walau tidak kerap berjumpa tetapi jiwa dan perasaan saya begitu dekat dengan rakyat di daerah ini. Justeru, jika ada keperluan, maklumkan kepada saya, jangan segan atau malu,” katanya.

Mengenai majlis itu, Hajiji berkata program rumah terbuka setiap perayaan seperti Krismas boleh merapatkan hubungan antara rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, majlis seperti itu juga dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Perayaan seperti inilah yang telah membentuk masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah termasuk di Tuaran, hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu walaupun dalam kepelbagaian bangsa dan kepercayaan agama.

“Inilah tradisi yang kita warisi dari nenek moyang kita dan inilah keistimewaan negeri Sabah. Tidak timbul masalah berkaitan agama atau kaum, malah ada yang bersaudara walau berbeza agama.

“Contohnya anak-anak saya, mereka ada sepupu yang beragama kristian. Tetapi semua itu tidak menghalang untuk kita hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penyelidikan Pulau Layang-Layang azam untuk pertahan kedaulatan negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular